CYBERJAYA: Perdana Menteri berdukacita dan mengucap takziah kepada keluarga mendiang Tan Sri Devaki Krishnan di atas pemergian wanita pertama dalam perkhidmatan awam Malaysia pada Sabtu malam.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Devaki adalah insan penting dalam sejarah perjuangan mengangkat martabat wanita di negara ini.
“Dalam kepimpinan dan politik, mendiang sanggup mengabadikan hayatnya demi masyarakat.
“Jasa dan pengorbanan mendiang akan dikenang selamanya,” kata Anwar dalam kenyataan, pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergian Devaki Krishnan.
Berita pemergian mendiang dikongsi cucunya, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan menerusi Facebook awal pagi Ahad.
“Kehilangannya pada usia 100 tahun sudah tentu amat dirasai oleh seluruh ahli keluarga. Kehilangannya tiada ganti.
“Kenangan bersamanya akan terus abadi. Semoga rohnya diberikan ketenangan,” luahnya.