HomeHiburan'Saya tak sakit' - Fathia Latiff

‘Saya tak sakit’ – Fathia Latiff

“SAYA tidak sakit.”

Itu respons pelakon, Fathia Latiff kerana rimas dengan tuduhan segelintir pihak yang mendakwa dirinya sedang ‘sakit’ dan perlu mendapatkan bantuan.

Ia susulan hantarannya di media sosial yang berbaur provokasi serta berkelakuan aneh.

Fathia atau Nur Fathia Abdul Latiff, berkata walaupun dihujani dengan kecaman, dia tidak sesekali terkesan serta tindakannya sebelum ini adalah pilihannya sendiri.

“Kepada peminat, keluarga dan ‘homophobiens’ (golongan yang membenci homoseksual), saya penat dilabel sebagai orang sakit sedangkan perkara itu tidak berlaku.

“Saya boleh mengambil tindakan dengan segala tuduhan tersebut tetapi tidak akan melakukannya sebab ada banyak lagi perkara lebih baik perlu dilunaskan.

“Keluarga saya perlu menanggung malu dengan semua yang terjadi tetapi saya tetap akan melakukan apa sahaja kerana ini kehidupan dan pilihan saya.

“Buruk atau jahat, tiada kena mengena dengan anda semua!” katanya menerusi hantaran di Instastory.

Instagram Fathia Latiff

Tambah pelakon berusia 36 tahun itu, dia berhak terhadap jalan hidup yang dipilihnya kerana percaya ia tidak menyusahkan orang sekeliling.

“Ini kehidupan saya dan pilihan yang saya mahukan, tak kisahlah baik atau buruk tiada kena mengena pun dengan kalian. Tak kisah saya selebriti, pengemis atau jutawan sekali pun.

“Saya tidak bertanggungjawab untuk memberi penjelasan, mengemukakan bukti atau memberitahu sesiapa tentang setiap perkara yang ingin dimuat naik dalam media sosial.

“Terlalu ramai individu berfikiran negatif yang melemparkan fitnah terhadap diri saya. Berhenti menyalahkan orang dan lihat pada diri sendiri dan keluarga anda dahulu.

“Kalau boleh mahu menulis lebih banyak tetapi saya tak mahu buang masa. Cukuplah semua,” katanya lagi.

Dia yang popular menerusi drama Ariana Rose itu juga turut berpendapat segelintir masyarakat Melayu masih mengamalkan sikap cemburu dan berfikiran buruk tentang orang lain.

“Orang melayu ini suka dengki, fikir bukan-bukan dan rasa diri sentiasa betul. Itu yang ayah saya selalu cakap.

“Perkara itu sangat menyedihkan dan memalukan tambahan pula saya mempunyai pengikut dari seluruh dunia termasuk Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan Kanada. Semoga Tuhan melindungi kita semua,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor