HomeHiburan'Podcast patut ada tapisan'- Naim Daniel

‘Podcast patut ada tapisan’- Naim Daniel

“BAGI saya kita harus bertanggungjawab atas apa yang kita sampaikan. Saya rasa sepatutnya podcast ini sekurang-kurangnya kena ada tapisan.”

Itu kata pelakon dan penyanyi, Naim Daniel yang membidas segelintir selebriti serta pempengaruh yang tergamak mengeluarkan kenyataan seolah-olah menghasut pemikiran generasi muda terhadap sesuatu isu.

“Apa sahaja isu boleh nak dibahaskan tapi dengan siapa yang dirujuk itu penting sebenarnya. 

“Contohnya kalau orang nak borak tentang kapal selam tak akan nak panggil saya? Mestilah tidak sesuai,” katanya memetik Utusan Online.

Tambah Naim, golongan pempengaruh yang mempunyai medium podcast seharusnya menyalurkan informasi yang berguna kepada pengikut dan bukannya mengeluarkan kenyataan merapu.

Pelakon yang berusia 27 tahun itu turut mengakui emosinya juga terkesan kerana tindakan golongan itu yang memberikan kesan buruk terhadap rakan-rakan selebriti lain.

“Betul, saya memang marah sangat sebab saya rasa tak semua orang boleh buat podcast,”katanya.

“Kalau nak katakan ia sebagai satu strategi pemasaran, tak akanlah tahap itu sahaja kita nak buat terutama daripada orang yang bergelar pempengaruh atau selebriti?

“Tak akan kita nak letakkan standard pemikiran rakyat Malaysia ini pada tahap negatif dahulu baru dapat perhatian?

“Memang selalunya orang akan tertarik dengan benda negatif tetapi adakah itu legasi yang kita nak bagi pada anak-anak di masa akan datang?” ujarnya

Sebagai orang yang dikenali, pelantun lagu Sumpah itu turut berhati-hati dalam memberikan jawapan pada setiap temu bual bagi mengelak ia disalah anggap.

“Saya sendiri pun, bila saya menjawab dalam temu bual saya akan berikan bahagian terbaik apa yang boleh saya sampaikan.

“Sebab kita tidak mahu jawab secara semberono atau main tembak sahaja. Sayang sebab orang akan tengok.

“Apa yang selebriti ini sampaikan, apa yang kita pakai, apa yang kita buat, apa yang kita utarakan dalam podcast. 

“Nanti orang pukul rata, orang akan kata artis Malaysia ini tahapnya setakat itulah. Buat podcast cerita benda yang merepek.

“Ataupun tajuk yang tak reti nak ulas tapi nak ulas, itulah jadinya. Kita tidak mahulah begitu. 

“Bagi saya podcast ini bukan tak boleh diwujudkan. Tetapi harus diberikan kepada orang yang selayaknya,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor