CYBERJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad secara sarkastik memuji dan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaannya ‘mengurangkan’ jenayah rasuah di negara ini.
Bekas Perdana Menteri itu antara lain memberi contoh bahawa, rasuah ‘dikurangkan’ dengan menghentikan dakwaan ke atas kesemua 47 pertuduhan mahkamah yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Rasuah ‘dikurang’ lagi apabila statutory declaration Datuk Abdul Murad Khalid (bekas Penolong Gabenor Bank Negara) bahawa, Anwar terlibat dengan rasuah sebanyak RM3 bilion tidak diteruskan tindakan (no further action). Dengan ini RM3 bilion diselamatkan,” tulisnya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.
Sindir Dr Mahathir, wakil rakyat parti pembangkang yang mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar kerana menganggap tindakan itu mampu memperoleh peruntukan wang kerajaan tidak dianggap sebagai rasuah, sekali gus dapat ‘mengurangkan’ amalan tersebut.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa, jenayah itu juga ‘dikurangkan’ apabila Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipercayai memiliki berjuta saham tidak dianggap sebagai rasuah, berikutan adiknya menggunakan akaun beliau.
Meskipun tidak menyebut sebarang nama, namun kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Tan Sri Azam Baki.
“Sesungguhnya rasuah di Malaysia sudah ‘dikurangkan’. Ini adalah kejayaan kerajaan PMX,” sindirnya.
Malah, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, nama beberapa individu tertentu yang terkandung dalam Kertas Pandora tidak disiasat, sama ada terlibat dengan rasuah atau pun tidak.
Kertas Pandora merupakan dokumen yang didedahkan Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) berhubung pemilikan dana antarabangsa yang disimpan di syarikat luar pesisir.
Individu yang disiasat ketika ini merupakan rakan rapat Dr Mahathir yang juga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Isteri Tun Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta.
“Sebaliknya kerajaan PMX sedang siasat Tun Tun yang memiliki kekayaan atau dituduh tanpa bukti memiliki kekayaan.
“Mereka, anak mereka, isteri mereka akan didapati bersalah kerana gagal mengisytihar semua harta mereka sejak 42 tahun dahulu dalam jangka masa 30 hari.
Pada masa sama, Dr Mahathir secara sinis mendakwa, individu yang disiasat SPRM itu akan didapati bersalah kerana gagal mengemukakan resit-resit pembelian nasi lemak dan kopi selama 42 tahun.
“Semua rakyat Malaysia mempunyai bukti sah apabila mereka makan nasi lemak. Kenapa Tun Tun tidak simpan semua resit segala perbelanjaan mereka selama hanya 42 tahun. Kenapa setelah diberi masa 30 hari mereka tidak patuh kepada notis dari SPRM?
“Sebagai kerajaan yang pegang kepada Rule of Law, pemerintahan mengikut undang-undang, mereka boleh dipenjara lima tahun dan denda RM100,000.
“Untuk menentu kesalahan bukti tidak penting. Tuduhan oleh PMX cukup. Demikianlah ‘bertanggungjawabnya’ SPRM,” katanya.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan sudah memanggil anak sulung Dr Mahathir, Mirzan bagi membantu siasatan.
Menurut SPRM, Mirzan sudah hadir ke ibu pejabat di Putrajaya dan satu perintah notis disampaikan kepada beliau mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.
Notis itu mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya, sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis itu.
Dr Mahathir menganggap notis itu sebagai tidak masuk akal kerana ia perlu dilakukan Mirzan sejak 42 tahun lalu ketika beliau masih bergelar pelajar.