HomeNiagaUsahawanTanam cendawan bawah flat PPR, bantu golongan asnaf

Tanam cendawan bawah flat PPR, bantu golongan asnaf

SIAPA sangka, menerusi langkah kecil sahaja kehidupan seseorang itu boleh berubah ke satu tahap yang lebih selesa.

Hal itu boleh dikaitkan dengan sebuah program penanaman cendawan yang diberi nama Projek Mushroom, Investment, Social, Hero, Agriculture (Misha) yang dilaksanakan khas untuk menambah pendapatan dan membantu golongan asnaf di Johor Bahru.

Projek Misha yang diusahakan sejak November 2023 itu berjaya mengubah gaya hidup para penduduk terutama ahli persatuan bagi menambah sumber pendapatan.

Pengarah Program Misha, Farrah Faridah Baptist berkata, projek berkenaan tercetus apabila beliau melawat kawasan perumahan projek perumahan rakyat (PPR) yang boleh dijadikan kebun komuniti.

“Apabila saya melihat sekitar bawah flat di PPR Melana Indah fasa 2 ini saya dapati banyak kawasan kosong yang boleh dijadikan kebun komuniti dari dibiarkan kosong.

“Saya berjumpa dengan pihak pengurusan flat dan kebetulan salah seorang penduduk disini merupakan kenalan saya, dan hasil perbincangan sebuah kebun komuniti berjaya dibuat dengan tanaman cendawan,” katanya memetik Utusan pada Jumaat.

Berkongsi lanjut mengenai permulaan projek, Farrah menyatakan bahawa sebanyak 5,346 bongkah disemai dengan mendapat tajaan geran sebanyak RM40,000 dari APPGM-SDG dan Sosial Hero Foundation.

Tambahnya, seramai 10 orang peserta diberi kursus teknik menanam cendawan terdiri dan projek yang mendapat penglibatan golongan ibu dan bapa tunggal, orang kurang kelainan upaya (OKU) dan warga emas itu dikawal selia oleh mereka secara bergilir-gilir.

Sementara itu Pengurus Kebun Komuniti Cendawan PPR Melana Indah, Hasanah Herman berkata, percubaan penanaman cendawan ini mendapat hasil yang lumayan walaupun pertama kali diusahakan oleh ahli seramai 10 orang yang terdiri dari penduduk di sini.

“Penaja yang menaja projek ini amat berpuas hati dengan pendapatan yang diperolehi sekitar RM1,500 sebulan.

“Semua hasil jualan akan dimasukkan kedalam tabung dan dengan pendapatan ini dapat menyara para ahli yang merupakan asnaf sehingga boleh menjimatkan belanja dapur sebanyak 50 peratus,” kongsinya.

Author

Pilihan Editor