HomeBeritaRemaja 14 tahun antara lima ditahan merusuh di padang bola

Remaja 14 tahun antara lima ditahan merusuh di padang bola

SUNGAI BULOH: Lima individu termasuk remaja berusia 14 tahun ditahan polis untuk siasatan kejadian merusuh semasa perlawanan bola sepak di sebuah padang di Persiaran Gamuda Garden 1, Bandar Gamuda, di sini, semalam.

Kejadian pukul 10.40 malam itu dipercayai berlaku akibat perselisihan faham antara pemain pasukan bola sepak terbabit.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang remaja lelaki tempatan, semalam.

Katanya, mangsa berusia 14 tahun ketika itu sedang bermain bola menentang pasukan lain sebelum berlaku perselisihan faham antara kawan mangsa dan pemain lawan.

“Mangsa yang datang untuk meleraikan pergaduhan tetapi diserang beberapa pemain lain.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa luka di bahagian hidung, lebam di bahagian belakang, lebam di leher, muka dan sakit di seluruh bahagian badan,” katanya memetik Utusan pada Sabtu.

Tambah Shafa’aton, mangsa tampil ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Semakan mendapati kedua-dua pihak telah membuat laporan polis. Lima tangkapan telah dibuat untuk membantu siasatan. Anggaran usia suspek yang ditangkap antara 14 hingga 39 tahun,” maklumnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, tular di media sosial video pergaduhan di padang membabitkan antara pemain bola sepak.

Difahamkan, pergaduhan itu dipercayai melibatkan lebih 30 individu dalam kalangan pemain liga bawah umur.

Dalam video itu, kelihatan pemain-pemain berkenaan saling memukul menggunakan kerusi serta topi keledar.

Bagaimanapun, setakat artikel ini disiarkan jumlah kecederaan tidak dapat dipastikan.

Author

Pilihan Editor