MENURUT World Health Organization (WHO), satu daripada lapan orang di dunia berhadapan dengan masalah kesihatan mental.
Hal ini mampu menjejaskan produktiviti individu dan kualiti kehidupan mereka disebabkan faktor-faktor tertentu seperti mengalami tekanan dalam kehidupan seharian.
Kesihatan mental di Malaysia
Di Malaysia, isu kesihatan mental sering menjadi perbincangan serius dalam kalangan masyarakat termasuklah mengenai kemurungan, kegelisahan, hilang keyakinan diri dan seumpamanya.
Perkara ini sebenarnya memberikan gambaran pelbagai dimensi dan merupakan cerminan kepada masyarakat. Isu ini kebanyakannya berlaku dalam kalangan individu yang terkait mengalami pelbagai masalah dalam kehidupan.
Antara faktor yang menyebabkan isu terjadi adalah berpunca dari kecetekan akal fikiran dan kezaliman manusia yang mementingkan kepuasan hati sendiri sehingga memberi kesan yang mendalam kepada mangsa.
Sewajarnya mereka yang cetek akal ini hendaklah melihat penderita-penderita ini dengan empati yang sama seperti yang mereka lakukan kepada penderita tersebut. Hanya dengan berbuat demikian, kita akan menyedari bahawa ujian yang terpaksa mereka hadapi tidak mudah dan ujian tersebut bukannya dari kehendak dan kemahuan mereka. Contoh penderita tersebut mangsa kepada isu rogol, pesakit-pesakit kronik, insan-insan kelainan upaya dan lain-lain.
Selain itu, masyarakat wajar mengetahui dan memahami usaha yang mampu membantu individu yang memerlukan pertolongan.
Kesediaan untuk memahami tentang penderitaan pesakit berkemungkinan dapat menyelamatkan mereka daripada rasa malu dan berasa terancam dengan keadaan dan situasi mereka.
Perspektif negatif terhadap pesakit mental
Sebagai manusia yang prihatin, kita tidak sepatutnya mempunyai perspektif bahawa mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental ini digelar sebagai “sewel”, “tiga suku” mahupun gagal dalam kehidupan.
Realitinya, setiap manusia akan ditimpa dengan pelbagai ujian sama ada ujian tersebut berlaku dalam jangka masa yang singkat ataupun dalam jangka masa yang panjang.
Melalui statistik yang dikeluarkan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial (MHPSS), isu kesihatan mental meningkat lima kali ganda berbanding tahun 2020.
Dalam pada itu, individu yang menghadapi isu dan permasalahan ini harus mengambil langkah yang wajar untuk menyelamatkan diri mereka dari lembah yang lebih teruk dan serius.
Langkah membantu golongan memerlukan
Antara langkah yang boleh diambil termasuklah yang terdapat di dalam garis panduan kaunseling kesihatan Islam iaitu nasihat merupakan salah satu amalan mulia di sisi Allah dan perancangan berkaitan kaunseling ini telah diwajibkan oleh pemerintah dalam masyarakat islam bagi mengurangkan isu-isu yang berkait dengannya.
Penderita-penderita kesihatan mental ini haruslah sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesihatan rohani dan jiwa. Elakkan diri daripada suasana yang sunyi dan keseorangan. Sibukkan diri dengan bergaul bersama-sama dengan orang sekeliling. Bermuhasabah dengan mensyukuri, bertawakal. Bersangka baik kepada sebaik-baik pembantu dan redha atas apa yang telah berlaku.
Sesungguhnya setiap makhluk yang diciptakan di muka bumi Allah ini ada kekurangan dan kelebihan. Oleh itu, Allah menciptakan manusia dengan akal yang bertujuan supaya manusia dapat memanfaatkannya dengan baik. Namun begitu, setiap kekurangan yang dimiliki hendaklah dijadikan sebagai peluang untuk memberikan kesedaran kepada orang lain bahawa kelemahan tersebut tidak akan menjadi penyebab untuk kita terus berada dibawah.
Selain itu, individu yang mengalami masalah kesihatan mental perlu merasionalkan pemikiran dengan sentiasa berfikiran positif, istiqamah dalam melakukan kebaikan, terus mendapatkan sokongan keluarga dan masyarakat.
Tingkatkan motivasi agar masalah kesihatan mental dapat dipulihkan ke tahap yang lebih baik dan sejahtera.
Langkah lain yang boleh dilakukan adalah dengan menjadikan tokoh-tokoh yang berpengaruh sebagai pembakar semangat dan penyuntik motivasi untuk tidak terus berada dalam zon yang kurang berkeyakinan.
Sebagai contoh, Ralph Braun yang dilahirkan dengan penyakit distrofo otot menyebabkan otot beliau menjadi lemah secara perlahan-lahan. Walaupun dalam keadaan yang demikian, beliau tidak menjadikan kelemahan itu sebagai alasan untuk berdiam diri tanpa memberikan sebarang manfaat kepada dirinya sendiri dan orang lain.
Walhal, Braun berjaya menjadi pengasas Braun Corporation yang dikenali sebagai pengeluar yang menerajui bidang kerusi roda dan syarikatnya juga adalah syarikat pertama yang mengeluarkan van mesra kerusi roda.
Contoh yang seterusnya adalah tokoh yang lahir dari negara kita sendiri iaitu usahawan tersohor, Sukur Ibrahim yang juga pemilik Syarikat D Strike Solution Sdn.Bhd.
Meskipun mengalami kecacatan pada tangan dan kaki, beliau tetap cekal dan beriltizam untuk mengejar Impian sehingga berjaya memenangi Anugerah OKU Cemerlang Kebangsaan dalam bidang keusahawanan.
Sukur Ibrahim sudah berkecimpung dalam bidang perniagaan selama 13 tahun sejak tahun 2010.
Beliau juga merupakan seorang Agency Supervisor di Wealth Advisors. Perkara yang lebih mengagumkan ialah beliau juga merupakan Perunding Motivasi dalam negara dan juga di luar negara yang mampu memberi inspirasi kepada orang ramai.
Konklusi
Bagi individu yang menghidap masalah kesihatan mental disebabkan oleh kesilapan diri sendiri, sewajarnya anda berusaha dengan sedaya upaya untuk menahan dan mengawal diri daripada terus terjerumus di dalam kancah gejala sosial yang akan lebih memudaratkan diri.
Anggaplah kejadian yang telah berlaku itu sebagai satu pengajaran dan jalan untuk menjadi insan yang berguna pada masa akan datang.
Perkara seperti ini kebiasaannya berlaku dalam kalangan remaja. Oleh itu, anak muda disarankan mengambil langkah penjagaan kesihatan mental dengan melibatkan diri dalam program kesihatan mental yang diadakan di sekolah.
Inisiatif berkenaan penting dalam membantu golongan anak muda mendalami pengetahuan tentang strategi mencegah, menjaga dan memulihkan kesihatan mental.
Kesimpulannya, masalah kesihatan mental ini mampu diatasi dengan adanya literasi kesihatan mental yang bersungguh-sungguh dilakukan oleh individu tersebut. Usaha untuk memulihkan diri perlulah dilakukan dengan mengenal pasti masalah dan mendapatkan bantuan yang sepatutnya. Perkara ini penting bagi mengelakkan perkara yang lebih besar berlaku iaitu bunuh diri. Rakyat yang sihat akan mewujudkan negara yang harmoni dan sejahtera selaras dengan hasrat kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Oleh: AINUL KHAIRIAH ARIFFIN
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)