HomeBeritaSPRM siasat perbelanjaan RM700 juta dua PM untuk promosi, publisiti

SPRM siasat perbelanjaan RM700 juta dua PM untuk promosi, publisiti

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya sedang menyiasat proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan siasatan berkenaan, namun beliau tidak mengulas lanjut.

Sementara itu satu sumber berkata, semalam pasukan SPRM sudah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai sebahagian proses siasatan.

Malah pihak SPRM juga sudah mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan hari ini.

“SPRM sudah memulakan siasatan awal berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

“Siasatan ini dibuat berdasarkan maklumat awal yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lalu.

“Prabakaran ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan membelanjakan hingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Perbelanjaan berkenaan digunakan dua pentadbiran terdahulu dalam menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan.

Terdahulu, SPRM dilaporkan berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengenai perbelanjaan itu, malah akan memanggil bekas pemimpin tertinggi kerajaan berhubung siasatan itu.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan kepada BH beliau belum menerima sebarang panggilan daripada SPRM berhubung satu siasatan dijalankan agensi penguatkuasaan itu.

Sabtu lalu, BH melaporkan, polis menerima laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana RM700 juta oleh dua kerajaan terdahulu untuk iklan dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum itu menulis di catatan media sosial X, berhubung perbelanjaan itu dan berkata, rakyat berhak tahu bagaimana RM700 juta bagi iklan dan publisiti dibelanjakan oleh dua kerajaan terdahulu.

Dalam perkembangan itu, sumber berkata, siasatan ketika ini adalah berbentuk tindakan proaktif bagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta itu.

“Siasatan awal masih berjalan dan ia menjurus kepada bagaimana wang itu dibelanjakan.

“SRPM juga sedang menyiasat adakah proses perbelanjaan dan pengurusan berkenaan mengikut tatacara yang betul,” katanya. – Berita Harian

 

Author

Pilihan Editor