CYBERJAYA: Pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi semua sekolah di Pulau Pinang yang bermula semalam susulan gangguan bekalan air berjadual tidak akan dilanjutkan dan akan berakhir Jumaat ini.
Jaminan berhubung perkara berkenaan dimaklumkan Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan susulan tahap pemulihan bekalan air di seluruh negeri ini khususnya di kawasan Seberang Perai yang beransur pulih.
“PdPR hanya sampai esok, seperti mana yang dimaklumkan baru-baru ini. Insyallah, bekalan air pulih sepenuhnya,” katanya seperti dilapor Kosmo pada Khamis.
Sebelum ini, Wan Sajiri berkata, semua sekolah di Pulau Pinang kecuali pelajar Tingkatan Lima dan Kolej Pra-Universiti akan menjalani sesi PdPR susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari, bermula 10 Januari.
Katanya, pelajar Tingkatan Lima dan Kolej Pra-Universiti akan menjalani pembelajaran seperti biasa di sekolah susulan peperiksaan yang telah dijadualkan.
Terdahulu, media melaporkan 590,000 akaun pengguna PBAPP bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 96 jam, sehingga 14 Januari susulan kerja pembaikan paip segera di LRA Sungai Dua.