HomeMV+PendapatTeruskan boikot barangan Israel, solidariti bersama Palestin

Teruskan boikot barangan Israel, solidariti bersama Palestin

TAHUKAH anda bahawa sebahagian barangan yang digunakan dalam kehidupan seharian kita adalah barangan keluaran Israel? Apakah selama ini kita menyokong Israel?

Seperti yang diketahui rakyat Malaysia, saudara sesama Islam yang berada di Palestin kini berdepan ujian dengan ancaman dari Israel.

Peperangan yang tercetus disebabkan penjajahan Israel di Palestin hingga saat ini bukan hanya disebabkan oleh perebutan wilayah yang bertujuan sebagai tempat untuk hidup tetapi juga disebabkan oleh isu tanah yang dijanjikan.

Untuk pengetahuan, Palestin pada awalnya merupakan sebuah negara yang maju yang dihuni oleh umat Islam namun, semuanya berubah sejak tanah itu dijajah tentera Zionis lantas menyebabkan rakyat hidup dalam ketakutan.

Pada 25 Oktober 2023, Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan bahawa sistem kesihatan di Gaza runtuh sepenuhnya.

120 bayi pramatang yang berada di sana menjadi korban akibat serangan daripada Israel.

Malah, ribuan mangsa mati ditembak dan banyak bangunan yang menjadi tempat perlindungan rakyat Gaza hancur musnah sekelip mata.

Bagaimanakah cara untuk kita sokong dan bantu saudara yang berada di Palestin?

Sebagai tanda sokongan saudara sesama Islam, kita sewajarnya memboikot barangan Israel dengan berhenti membeli atau menggunakan produk keluaran mereka. Kita bukan sahaja perlu memboikot barangan daripada Israel, malah barangan keluaran negara yang menyokong Israel itu juga wajar diketepikan.

Meskipun tindakan ini kelihatan remeh, namun usaha ini cukup membuktikan bahawa anda tegas dengan prinsip yang menentang kekejaman Israel.

Bagaimanapun, sudah pasti ada sebilangan daripada kita yang kurang bersetuju dengan tindakan memboikot itu.  Adalah penting untuk diketahui bahawa masalah ini amat rumit, dan orang ramai mungkin mempunyai pendapat dan prinsip hidup yang berbeza. Namun, selaku saudara sesama Islam, usaha memboikot ini wajar diteruskan.

Kenapa wajar boikot?

Langkah kecil ini jika dilakukan secara massa sudah pasti dapat melumpuhkan ekonomi Israel. Perkara ini boleh digambarkan seperti, jika seorang itu membeli barangan atau produk yang menyokong Israel walaupun produk tersebut Cuma berharga beberapa sen, namun jika dibeli oleh seribu orang rakyat Malaysia, ia menyumbang jumlah yang besar kepada Israel.

Justeru, sebagai umat Islam, kita seharusnya bertindak secara bijak dan berhati-hati dalam membuat pilihan semasa berbelanja.

Tindakan memboikot barangan keluaran Israel ini turut dipersetujui Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Abushammala yang menyatakan pihaknya amat menggalakkan orang ramai memboikot semua entiti yang menyokong Israel.

“Pertamanya, kita menghantar mesej yang jelas kepada syarikat, kerajaan dan negara (yang menyokong Israel) ini bahawa kita ada pendirian sendiri. Kita tidak boleh sokong mereka untuk membunuh saudara kita di Gaza, Palestin.

“Maka, (boikot) ini tindakan moral oleh mana-mana individu pro-Palestin. Kedua, tindakan (boikot) ini berkesan untuk menghukum dan menghentikan, kalau tidak mengurangkan, dana yang disalurkan kepada Israel,” katanya.

Tambah Sharif, pihaknya memuji tindakan badan-badan bukan kerajaan (NGO), syarikat-syarikat korporat dan kerajaan yang menjayakan boikot keatas barangan dan perkhidmatan Israel.

Menurutnya, selain melemahkan sumber kewangan kepada Israel, boikot ini juga boleh memberi manfaat ekonomi kepada usahawan tempatan.

“Seperkara lagi, apabila kita sebagai individu atau NGO memboikot barangan (pro-Israel), ia memberi peluang kepada ekonomi tempatan untuk berkembang dan memperkasa sektor pengeluar tempatan tanpa terikat kepada syarikat (pro-Israel) untuk masa akan datang,” katanya lagi. (Dipetik daripada berita Awani)

Isu boikot adalah mengenai orang yang memilih untuk tidak membeli sesuatu. Kementerian perlu adil kerana perlu menyokong produk tempatan dan luar negara. Pemilik perniagaan tempatan boleh menggunakan situasi ini untuk mempromosikan produk mereka sendiri dan bukannya produk yang orang tidak mahu beli.

Setelah kita sedar, rupanya banyak produk dan barangan yang digunakan oleh rakyat Malaysia yang mana dapat menyumbang peningkatan ekonomi Israel contohnya produk daripada KFC, McDonald, PizzaHut, Starbucks dan lain-lain lagi. Barangan dan produk-produk ini kebiasaannya sangat dikenali rakyat Malaysia.

Kesan ketara ialah restoran makanan segera terkenal mengalami kekurangan pelanggan. Begitu juga jualan produk-produk yang dikaitkan dengan sokongan terhadap Israel tidak mendapat sambutan di Malaysia.

Oleh itu, dengan kurangnya sokongan atas pembelian terhadap barangan dan produk dari negara luar, secara tidak langsung dapat meningkatkan pembelian dan membantu rakyat dengan menggunakan produk tempatan. Kualiti produk tempatan semakin bertambah baik.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) mahu orang ramai menggunakan barangan buatan dalam komuniti mereka sendiri, tetapi sukar kerana perkara ini tidak banyak diiklankan dan tidak ramai orang bercakap mengenainya.

Justeru, ini merupakan peluang kepada pengusaha barangan dan produk tempatan untuk terus meningkatkan ekonomi.

Namun, faedah yang boleh rakyat Malaysia dapat ketika boikot barangan Israel adalah dapat meningkatkan ekonomi negara sendiri dengan pembelian dan penggunaan barangan dan produk tempatan.

Selain itu, dengan meningkatnya ekonomi Malaysia, rakyat dapat menolong sedikit sebanyak kepada rakyat Palestin dengan cara menyumbang makanan, minuman, ubat-ubatan dan perkara-perkara keperluan yang diperlukan.

Inilah yang dikatakan ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ iaitu, ketika mereka yang sedang dalam keadaan susah dan kritikal disana, kita sebagai saudara sesama Islam bantu mendoakan serta memberikan sokongan dalam menyelamatkan bumi Palestin.

Oleh: NOR ATIQAH AIN MOHD ADNI
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Author

Pilihan Editor