HomeBeritaTiga jam keluarkan tapir terperangkap dalam parit

Tiga jam keluarkan tapir terperangkap dalam parit

 

SUNGAI BESAR: Usaha Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabak Bernam bersama Perhilitan Selangor untuk menyelamatkan seekor tapir yang terperangkap dalam parit di jalan besar Kampung Belia Satu, Sungai Panjang, di sini, semalam memakan masa tiga jam.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, pihaknya menerima maklumat APM pada jam 6 petang mengenai seekor tapir dewasa terjatuh dan terperangkap dalam parit serta cedera dua kaki belakang dipercayai dilanggar kenderaan.

“Bagaimanapun, haiwan liar itu masih aktif dan agresif dengan cuba naik ke tebing menggunakan kedua-dua kaki hadapannya namun tidak berjaya,” katanya dihubungi Berita Harian, hari ini.

Wan Mohd Adib berkata, pihaknya bersama APM kemudian menaikkan tapir itu ke tebing dan menghalakannya ke arah perangkap pindah.

“Tapir dinaikkan jam 9.50 malam dan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Sungkai untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Sabak Bernam, Leftanan (PA) Mohd Hairi Ibrahim berkata, usaha menyelamatkan tapir seberat 250-300kg itu sukar kerana haiwan itu agresif dan keadaan tebing yang tinggi.

Author

Pilihan Editor