PEMAIN e-sukan yang sedang meningkat naik, Sultan Riq memiliki impian untuk menjadikan namanya sebagai satu jenama tempatan terkemuka.
Tidak hanya mahu menjana pendapatan menerusi permainan video dalam talian (gaming), Sultan Riq atau nama sebenarnya Muhammad Haiqal Ahmad Yatim, 26, berkata, jenama barangan yang bakal dipertaruhkan juga boleh mendapat kolaborasi bersama jenama terkenal lain.
“Saya mahu ubah mindset (fikiran) orang ramai bahawa setiap streamer perlu memiliki jenama sendiri.
“Cara hendak menggerakkan jenama itu ke arah yang betul adalah dengan menjual nama kita. Nama Sultan Riq boleh menjadi jenama pakaian atau barangan elektronik,” katanya kepada MEDIA VARIASI.
Meminati nama besar dalam industri e-sukan, Nureddy Nursal atau Daddy Hood, Sultan Riq menyifatkannya sebagai seorang streamer yang bijak menggunakan peluang dalam dunia gaming.
Katanya, Daddy Hood bukan sekadar berkecimpung dalam gaming, malah dia dilihat mampu memberi kebaikan menerusi perniagaan dan perkhidmatan kepada orang ramai.
“Sambil bermain permainan video dalam talian, dia menjual baju, streetwear dan tubuhkan pasukan e-sukan.
“Dia pandai mencari ruang dan peluang, maka perkara itu yang saya rasa masih kurang dalam kalangan gamers dekat Malaysia,” katanya.
KESAN ‘STREAMING’ TERLALU LAMA
Jelas bapa kepada dua orang anak ini, idea untuk membuka perniagaan sendiri juga timbul, selepas mendakwa dirinya mengalami sakit belakang akibat terlalu lama bermain permainan video dalam talian.
Malah, katanya, dia juga mengalami sakit mata akibat pancaran cahaya tinggi menerusi peralatan ‘ring light’, bagi memastikan visual menggunakan skrin hijau ketika bersiaran langsung tampak lebih sempurna.
“Sebelum ini, saya paling lama strim selama 12 jam dan situasi ini dilihat tidak bagus serta memberi kesan kurang baik.
Keadaan itu menyebabkan Sultan Riq mengehadkan tempoh penstriman dan memberi fokus untuk menghasilkan lebih banyak kandungan (content).
Ujarnya, langkah juga dibuat bagi mengelakkan kesan jangka panjang sekiranya penstriman dilakukan pada tempoh lama.
“Saya strim selama dua atau tiga jam sehari dan mencipta minimum satu content. Saya berpendapat bahawa content lebih berkuasa berbanding penstriman. Ini disebabkan apabila kita melakukan penstriman secara langsung, kalau penonton kita ada seramai lima orang, kita cuma ada lima tontonan video sahaja.
“Sebaliknya, jika saya menghasilkan content, maka content itu akan muncul dalam halaman FYP (For Your Page) di TikTok, yang mana kandungan itu akan ditonton oleh lebih ramai orang.
“Saya akan memastikan kandungan yang dihasilkan bermanfaat. Sebagai contoh, orang luar yang tidak bermain ML (Mobile Legends) akan sedikit sebanyak mempelajarinya menerusi tutorial yang diberi. Mereka yang tak rasa nak main pun akan tiba-tiba terdetik untuk bermain permainan video,” katanya.
KELAS PERSENDIRIAN
Tambah Sultan Riq, dia juga mempunyai perancangan untuk mengadakan kelas persendirian atau private class, sebagai inisiatif untuk mengajar individu yang mahu berjinak-jinak dalam dunia e-sukan.
Ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu, hasrat berkenaan timbul selepas dia merangkul anugerah Best Of Gaming di Anugerah TikTok 2023.
“Dari situ, saya nak buat ‘one-on-one private class’ untuk sesiapa yang mahu menceburi bidang ini. Saya juga mempunyai kenalan individu-individu hebat dalam dunia penstriman,” katanya.
FOKUS KANDUNGAN PELANCONGAN
Kongsinya lagi, dia juga dalam perancangan untuk memfokuskan kandungan berkaitan pelancongan serta mengaitkan aspek tersebut dengan dunia gaming.
Setakat ini, akuinya, dia sudah pun menerima beberapa tawaran pekerjaan untuk menghasilkan kandungan berasaskan pelancongan.
“Saya rasa job untuk travel ini seronok sebab gamer tertekan duduk dalam bilik, malahan saya juga boleh jumpa dengan content creator (pencipta kandungan) yang lain. Jadi, tahun 2024 ini saya mahu menjadi gamer yang mencipta kandungan travel.
“Saya akan kaitkan gaming dengan travel dan kandungannya mungkin dari segi sudut kesihatan mental. Sebenarnya, gamer banyak duit, tetapi mereka tidak mengetahui cara untuk menggunakannya dan banyak berbelanja dekat permainan video.
“Jadi, mengapa tidak saya jadi individu yang mempengaruhi mereka untuk keluar melancong? Tapi, saya pastikan tempat tersebut berkait dengan gaming dan tidak 100 peratus berasaskan pelancongan,” katanya lagi.