HomeMV+PendapatWajarkah UPSR dilaksanakan semula?

Wajarkah UPSR dilaksanakan semula?

PENDIDIKAN merupakan aspek utama dalam pembentukan masa depan sebuah negara, dan sistem pendidikan yang berkesan merupakan kunci kejayaan dalam membentuk generasi muda.

Sejak kebelakangan ini, terdapat perbincangan dan perubahan signifikan dalam landskap pendidikan Malaysia, dan antara isu yang menjadi tumpuan adalah keputusan menghapuskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

UPSR, pada asalnya telah menjadi satu elemen penting dalam menilai pencapaian pelajar di peringkat awal pendidikan.

Bagaimanapun, keputusan untuk menghapuskan UPSR pada tahun 2016 telah menimbulkan soalan dan kontroversi di kalangan masyarakat. Semakin meningkatnya suara yang menuntut pengembalian UPSR menggariskan keperluan untuk menilai semula keputusan tersebut.

Artikel ini bertujuan untuk merungkai perbincangan seputar kepentingan dan implikasi pengembalian UPSR. Apakah pelaksanaan UPSR semula akan memberi manfaat kepada sistem pendidikan?

Sistem pendidikan Malaysia telah melalui beberapa perubahan strategik untuk meningkatkan kualiti pembelajaran. Salah satu isu yang semakin mendapat perhatian adalah keputusan untuk menghapuskan UPSR pada tahun 2016. Walau bagaimanapun, adakah penghapusan ini memberikan manfaat yang sepadan atau sebaliknya?

Tindakan memansuhkan UPSR menyumbang kepada peningkatan gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar khususnya murid sekolah rendah.

Hal ini demikian kerana, pelajar menganggap bahawa kehadiran ke sekolah seolah-olah sia-sia dan membuang masa serta boleh diabaikan tanpa perlunya pemikiran dan alasan yang berpatutan.

Maka, tidak hairanlah apabila mereka lebih mengutamakan perkara lain seperti menghadiri kenduri, mengunjungi pusat beli belah dan seumpamanya menjadi menu utama selepas pemansuhan UPSR.

Kesannya, pelajar tidak mementingkan kehadiran ke sekolah sebaliknya meletakkan kepentingan terhadap perkara lain.

Memetik laporan di Berita Harian, pemansuhan UPSR turut menjejaskan penilaian terhadap tahap pretasi murid yang berasaskan peperiksaan standard.

Perihal ini susulan para guru di sekolah dilihat kurang berupaya menyediakan soalan yang standard dan setara dengan UPSR. Mereka hanya mampu menyediakan ujian bulanan mengikut sekolah masing-masing sahaja untuk menilai perkembangan pelajar.

Penilaian perkembangan pretasi pelajar sebegini seolah-olah tiada hala tuju yang tertentu di samping tidak dapat menilai perkembangan prestasi pelajar dengan tepat.

Hal ini jauh berbeza apabila UPSR dapat menilai keupayaan pelajar dalam menguasai perkara asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Tambahan lagi, UPSR juga penting untuk menentukan tahap pencapaian pelajar dengan tepat sebelum mereka melangkah ke alam sekolah menengah lagi. Perkara ini penting kerana dapat menentukan arah aliran yang bakal diambil oleh pelajar sebelum mereka memasuki sekolah menengah di samping menilai keupayaan pelajar dalam bidang-bidang tertentu. Jelasnya, peperiksaan awam UPSR perlu dikekalkan untuk penilaian perkembangan pretasi pelajar yang standart.

Dalam penilaian yang mendalam terhadap isu pelaksanaan semula UPSR, adalah jelas bahawa tindakan ini bukanlah semata-mata mengembalikan ujian tersebut sebaliknya perkara ini melibatkan pembentukan landasan yang kukuh bagi perkembangan pelajar dan memastikan persediaan yang seimbang untuk cabaran pendidikan seterusnya.

Pelaksanaan semula UPSR juga tidak hanya mengukur kebolehan pelajar di peringkat awal, malah membentuk mentaliti, memberi arah pada matlamat pendidikan, dan menyediakan landasan standard kebangsaan yang seimbang.

Keputusan UPSR adalah lebih daripada sekadar angka; ia adalah panduan kepada pelajar dan pihak pendidikan tentang perjalanan pendidikan seterusnya.

Dengan melihat kepada potensi peningkatan motivasi pelajar, kesediaan untuk menghadapi cabaran pendidikan menengah, dan pembentukan asas standard kebangsaan, wajarlah kita mempertimbangkan pelaksanaan semula UPSR sebagai satu langkah positif.

Ini adalah peluang untuk memupuk semangat pembelajaran yang berterusan, menanamkan nilai kecekapan akademik, dan merangka masa depan pendidikan yang lebih gemilang untuk generasi akan datang.

Oleh: NUR IZAZI AQILAH ROSELAN
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

Author

Pilihan Editor