SEORANG wanita berpura-pura mengalami kemurungan manik bagi mengelakkan gangguan seksual daripada pemandu e-hailing, lapor South China Morning Post.
Kemurungan manik adalah satu keadaan yang mana seseorang mengalami perubahan pada perasaan atau emosi bercelaru, di antara keadaan terlalu sedih (depresif) atau terlalu gembira (manik).
Ia juga mungkin menunjukkan tanda-tanda psikosis seperti halusinasi dan delusi.
Wanita yang dikenali sebagai Zhang, dari wilayah Zhejiang, di timur China itu menggunakan taktik tersebut ketika menaiki kereta e-hailing untuk pulang ke rumahnya pada 24 Disember lalu.
Sebaik sahaja berasa tidak sedap hati terhadap pemandu itu, wanita tersebut segera memaklumkan bahawa dia mengalami penyakit gila sebelum merakam perbualan mereka pada telefon bimbitnya.
Antara soalan pelik yang ditanya pemandu tersebut terhadap Zhang adalah: “Pernah tak ada lelaki melakukan hubungan seks dengan kamu?”
Zhang dengan pantas menjawab: “Tidak, kerana saya telah melakukan pembunuhan.”
Tambah Zhang: “Setiap kali seseorang cuba mendekati saya, saya mahu membunuhnya. Kamu tahu apa yang saya maksudkan? Saya tidak takut mati.”
Pemandu itu tidak memberi respons terhadap Zhang, sebaliknya masih cuba meneruskan perbualan berkaitan lelaki yang cuba mendekati wanita tersebut.
Namun, Zhang pantas menukar topik perbualan.
“Sekarang saya rasa nak bunuh orang. Saya mengalami kemurungan manik,” kata wanita itu.
Dalam usaha untuk meyakinkan pemandu itu bahawa dakwaannya adalah benar, Zhang memberitahu bahawa ibunya merupakan seorang doktor manakala bapanya adalah pakar forensik yang boleh membuktikan sijil perubatan.
“Jangan cakap apa-apa. Saya juga mempunyai masalah mental. Bagaimana saya boleh menyelesaikannya?” soal Zhang kepada pemandu itu.
Pemandu itu kemudian menjawab bahawa dia boleh meminum arak pada setiap malam.
“Setiap kali saya ada arak, saya ingin mendapatkan pisau. Saya tidak tahu kenapa,” kata Zhang.
Pemandu itu terus cuba meneruskan perbualan mengenai minum arak, namun Zhang menghalangnya dan berkata: “Saya ada pisau di dalam beg saya sekarang. Tolong berhenti bercakap kerana saya sangat emosi.”
Pemandu tersebut yang kemudian percaya dengan dakwaan bahawa Zhang mengalami masalah mental bertanya sama ada lelaki yang kononnya pernah cuba dibunuh sudah meninggal dunia.
Zhang secara ringkas mendakwa bahawa, lelaki itu hampir meninggal dunia.
Kedua-keduanya kemudian bersetuju untuk menghentikan perbualan, manakala Zhang dilapor selamat tiba ke destinasinya.