BINTULU: Seorang wanita bersama bayinya cedera selepas sebuah tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di sebuah kediaman dekat Taman Kemena Sutera, di sini, pada Khamis pagi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, panggilan kecemasan mengenai kejadian diterima pada jam 10.01 pagi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian bersama jentera.
“Komander Operasi Eric Wilson Anak Justin melaporkan letupan itu berpunca daripada tong gas.
“Pintu rumah juga telah dibuka oleh orang awam sebelum bomba tiba,” kata kenyataan itu.
Pemeriksaan mendapati, mangsa yang terlibat merupakan seorang wanita berusia 29 tahun dan seorang bayi peremuan berusia sembilan bulan.
“Wanita tersebut telah dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans sementara bayi dihantar oleh orang awam,” katanya lagi.
Anggota bomba bertindak melakukan pemeriksaan bagi memastikan rumah dalam keadaan selamat manakala operasi tamat pada jam 10.28 pagi.