HomeBerita'Lebih 40 ajaran sesat di Selangor kini dalam pemantauan'

‘Lebih 40 ajaran sesat di Selangor kini dalam pemantauan’

CYBERJAYA: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengesan lebih 40 ajaran sesat di Selangor sedang giat menyebarkan ajaran songsang secara fizikal mahupun dalam talian.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya aktif membuat pemantauan terhadap kumpulan atau individu yang cuba memesongkan ajaran agama Islam.

“Secara umum kita di Selangor berusaha sedaya-upaya supaya ajaran sesat dapat dipantau dengan teliti dan pada masa sama cuba memulihkan mereka.

“Di Selangor kita ada Baituliman iaitu badan yang ditubuhkan untuk memulihkan individu (sesat) ini, kita ada ahli ulama yang akan membantu kembalikan mereka ke pangkal jalan,” katanya seperti dilapor Selangorkini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Rakan Strategik dan Rakan Media dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Mais 2024 di Hotel Concorde, Shah Alam, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut berharap individu yang terbabit dengan ajaran sonsang itu dapat kembali ke pangkal jalan.

“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis turut bekerjasama bagi memantau dan mengenal pasti kumpulan atau individu terlibat dengan ajaran sesat dan setakat ini lebih 40 (ajaran sesat) dilaporkan di negeri ini,” ujarnya.

Untuk makluman, antara ajaran sesat yang dikesan dan dipantau termasuk Asma Al Husna, Millah Abraham, Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) atau ajaran Sittah Annur dan Rasul Melayu.

Author

Pilihan Editor