HomeBeritaPolitikAznan Tamin muka baharu dalam Exco Johor

Aznan Tamin muka baharu dalam Exco Johor

CYBERJAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin diumum sebagai muka baharu menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Johor bagi penggal 2024-2027.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Aznan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor baharu menggantikan ADUN Johor Lama, Norlizah Noh.

Onn Hafiz berkata, penstrukturan semula barisan pentadbiran negeri itu mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Sultan Ismail Sultan Ibrahim serta berangkat ke Istiadat Pelantikan pada Selasa.

“Saya percaya dan yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan Exco ini mampu memacu negeri Johor ke arah yang lebih baik dan semuanya berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.

“Saya sedar dan insaf, sepanjang tempoh hampir dua tahun perkhidmatan ini, masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Onn Hafiz yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Johor, menambah Pelancongan dalam portfolio beliau.

Berikut merupakan senarai Exco dan portfolio masing-masing:

1. Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Machap) – Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Johor

2. Datuk Zahari Sarip (ADUN Buloh Kasap) – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor

3. Datuk Mohd Jafni Md Shukor (ADUN Bukit Permai) – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor

4. K. Raven Kumar (ADUN Tenggaroh) – Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor

5. Khairin-Nisa Ismail @ Md On (ADUN Serom) – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor

6. Mohd Hairi Mad Shah (ADUN Larkin) – Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor

7. Mohd Fared Mohd Khalid (ADUN Semerah) – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor

8. Ling Tian Soon (ADUN Yong Peng) – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor

9. Lee Ting Han (ADUN Paloh) – Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor

10. Mohamad Fazli Mohamad Salleh (ADUN Bukit Pasir) – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor

11. Aznan Tamin (ADUN Tanjung Surat) – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor

Author

Pilihan Editor