HomeBeritaMahkamah & JenayahBancuh susu bayi guna cecair syabu, suami isteri diberkas

Bancuh susu bayi guna cecair syabu, suami isteri diberkas

PETALING JAYA: Pasangan suami isteri yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah diberkas polis selepas tersilap membancuh susu bayi mereka dengan menggunakan cecair dadah syabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, kejadian yang berlaku di flat di Taman Medan dekat sini pada 19 Februari lalu hampir meragut nyawa anak pasangan terbabit.

“Kita telah menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak Hospital Kajang pada 20 Februari lalu,” katanya.

Shahrulnizam berkata, difahamkan bayi lelaki berusia setahun itu dihantar pasangan terbabit kepada neneknya berusia 55 tahun yang tinggal di Seri Kembangan pada hari kejadian, lapor Sinar Harian.

“Semasa dalam jagaan neneknya, mangsa tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal. Wanita itu kemudian bertanyakan punca tingkah laku pelik bayi itu kepada ibu mangsa,” katanya.

Beliau berkata, ibu mangsa yang berusia 34 tahun mengaku tersilap membancuh susu bayi berkenaan menggunakan air syabu milik suaminya berusia 40 tahun.

“Susulan itu, kita menahan suami isteri terbabit di rumah mereka di Taman Medan pada 20 Februari lalu.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah,” katanya.

Shahrulnizam berkata, semakan dilakukan juga mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai penjual air balang mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Bayi pasangan itu kini berada dalam pemantauan pihak Hospital Kajang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya.

Author

Pilihan Editor