HomeGlobalGadis nyaris maut ditolak sekumpulan lelaki di landasan kereta api

Gadis nyaris maut ditolak sekumpulan lelaki di landasan kereta api

MESKIPUN dunia semakin maju, masalah sosial seperti buli masih berlaku di seluruh dunia.

Baru-baru ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup di Dublin menyaksikan sekumpulan lelaki bertindak membuli seorang gadis sehingga dia nyaris maut terjatuh ke landasan kereta api.

Rakaman yang tular di aplikasi X itu turut memaparkan tingkah laku salah seorang lelaki terbabit, meludah ke arah orang awam.

Malah, ada di antara mereka yang membawa basikal secara melulu ke arah orang awam.

Keadaan tidak terkawal itu menyebabkan gadis malang yang sedang menaiki kereta api terjatuh ditolak oleh sekumpulan lelaki terbabit.

Meskipun gadis berkenaan berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di sekitar lokasi kejadian namun, dia dilaporkan mengalami gegaran otak susulan kejadian, lapor portal Crazed.

Dalam pada itu, saksi kejadian mendakwa bahawa sekumpulan lelaki tersebut telah dihalau keluar daripada kereta api.

Mereka sebelumnya telah membuat kekacauan sehingga ada penumpang yang membuat laporan kepada pihak atasan.

Lantaran itu, kereta api berkenaan diberhentikan seketika bagi menghalau sekumpulan lelaki terbabit keluar.

Tindakan mereka yang mengganggu ketenteraman orang awam membuatkan mereka ditahan pihak berkuasa.

“Tiga pemuda ditahan. Dua daripada mereka berusia 16 tahun dan seorang lagi 13 tahun telah ditahan kerana disyaki melakukan kekacauan di bawah Akta Ketenteraman Awam,1994,” maklum jurucakap Garda mewakili pihak berkuasa.

Malah, pihak berkuasa turut merampas basikal dan telefon bimbit mereka bagi tujuan siasatan. 

Hakim Paul Kelly, memutuskan dua daripada mereka didapati bersalah dalam melakukan keganasan sekali gus kes mereka kekal di Mahkamah Kanak-Kanak Dublin.

Manakala tertuduh yang didakwa menolak gadis tersebut, dipisahkan dan dihantar ke Circuit Court untuk dibicarakan.

Tertuduh mengaku bersalah, dan diringankan hukuman kerana hakim mengambil faktor-faktor pengakuan serta penyesalan yang jelas atas tindakannya.

Tertuduh dijatuhkan hukuman menjalani khidmat masyarakat.

Author

Pilihan Editor