HomeBeritaBomba selamatkan warga Perancis sesat di Taman Negara Teluk Bahang

Bomba selamatkan warga Perancis sesat di Taman Negara Teluk Bahang

BALIK PULAU: Pasukan bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga Perancis yang tersesat di kawasan hutan Taman Negara Teluk Bahang, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Younes Oukali, 37, ditemui dalam keadaan keletihan selepas dikatakan lebih tujuh jam tersesat dalam hutan tersebut.

Ketua Balai Bomba Teluk Bahang Faiz Helmi berkata, pihaknya mengambil masa lebih satu jam pendakian dalam hujan lebat bagi menyelamatkan mangsa.

Katanya, operasi menyelamat membabitkan seramai 17 anggota termasuk dua pegawai dan bantuan BBP Balik Pulau.

“Pasukan penyelamat melakukan pencarian berpandukan lokasi yang dikongsi mangsa menerusi aplikasi Whatsapp.

“Pencarian dilakukan dalam keadaan cuaca hujan lebat di kawasan berbukit,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, Faiz memaklumkan bahawa pihak Taman Negara Teluk Bahang turut bersiap sedia operasi menggunakan bot ke Teluk Kampi dalam penyelamatan itu.

Jelasnya, menerusi aplikasi tersebut, pasukan penyelamat menasihati mangsa supaya tetap tinggal di lokasi yang diberi.

“Mangsa ditemui pada jam 1.22 pagi dengan jarak kira-kira tiga kilometer iaitu anggaran lebih satu jam tempoh pendakian, dalam keadaan selamat dan mendakwa keletihan.

“Mangsa kemudian diserah kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 4.58 pagi,” maklumnya.

Difahamkan, lelaki terbabit datang ke Pulau Pinang sejak seminggu lalu bagi tujuan melancong dan memasuki kawasan hutan berkenaan seorang diri petang semalam.

 

Author

Pilihan Editor