SEORANG wanita maut selepas menerima rawatan akupuntur ketika melahirkan bayinya, dalam kejadian di rumah sewanya pada Rabu petang.
Rawatan yang dijalani Shemeera Beevi itu turut mengorbankan bayinya di Karakkamandapam, dekat Thiruvananthapuram, India.
Susulan kejadian itu, pihak polis menahan suami wanita tersebut yang dikenali sebagai Nayaz pada hari sama.
Menurut polis, wanita itu dipercayai tidak pernah membuat sebarang temu janji dengan doktor sepanjang sembilan bulan tempoh kehamilannya.
Wanita itu dan suaminya sebaliknya didakwa meminta bantuan pakar akupuntur untuk memantau kandungannya.
Wanita berkenaan dipercayai sudah pun hamil sebanyak empat kali dan tidak pernah mendapat rawatan kesihatan sepatutnya.
Selasa lalu, wanita tersebut mengalami beberapa komplikasi dan dikejarkan ke hospital swasta, sebelum dia dan bayinya disahkan meninggal dunia oleh doktor.
Berita kematian dua beranak itu mendapat kecaman daripada anggota pihak berkuasa kesihatan dan jiran terdekat, yang rata-ratanya mendakwa Nayaz enggan membenarkan isterinya mendapatkan rawatan perubatan sewajarnya.
Menurut salah seorang anggota pihak berkuasa kesihatan, Nayaz enggan membenarkan mereka memasuki rumah mereka atau berkomunikasi dengan mangsa.
“Keluarganya tidak bersedia untuk membenarkan kami memasuki rumah mereka atau berkongsi sebarang maklumat. Ada suatu ketika kami akhirnya berjaya memasuki rumah tersebut dan bercakap dengannya (mangsa). Kemudian kami mendapat tahu bahawa itu adalah kehamilan keempatnya,” dedahnya seperti dilapor NDTV.
Tambahnya, wanita itu juga tidak berpeluang untuk bersalin secara normal, serta didakwa khuatir untuk berkomunikasi dengan orang asing meskipun menerusi panggilan telefon.
“Suaminya mendakwa kononnya wanita itu mahu bersalin secara normal dan belajar menerusi laman YouTube. Dia juga menghina sistem perubatan di negeri ini,” ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang daripada jiran mereka turut mendakwa Nayaz tidak memberikan layanan sepatutnya kepada isterinya.
“Wanita itu tidak dibenarkan bercakap dengan kami. Dia tidak pernah keluar dari rumah seorang diri.
“Apabila kami menasihatkan lelaki itu untuk memberi rawatan sewajarnya kepada isterinya, dia menegaskan bahawa wanita itu merupakan isterinya (di bawah tanggungjawabnya) dan tiada keperluan untuk orang lain khuathir tentang kesihatannya,” kata wanita warga emas berkenaan.