HomeBeritaIbu tunggal bawa anak dicekup berkhalwat sambut Hari Kekasih

Ibu tunggal bawa anak dicekup berkhalwat sambut Hari Kekasih

 

KULIM: Seorang ibu tunggal sanggup membawa dua anaknya yang berusia empat dan enam tahun menginap di sebuah hotel di Pekan Lunas, di sini bersama kekasihnya sebelum mereka dicekup berkhalwat, malam tadi.

Wanita berusia 41 tahun itu dicekup berkhalwat dengan pasangannya yang berusia 43 tahun di hotel terbabit pada jam 10.55 malam oleh sepasukan pegawai penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) menerusi Op Kasih Sayang sempena Hari Kekasih atau Valentine’s Day di daerah itu bermula malam tadi hingga awal pagi tadi.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, hasil pemeriksaan di sebuah hotel di pekan Lunas itu mendapati terdapat satu pasangan yang mencurigakan bersama dua kanak-kanak berada dalam bilik itu, lapor Harian Metro.

“Selepas disoal siasat, wanita itu mengaku dua kanak-kanak terbabit adalah anak kandungnya manakala lelaki itu pula adalah teman lelakinya dan gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan suami isteri atau mahram ketika disoal siasat.

“Berikutan itu, mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anwar Sharifudin berkata, pasangan itu masing-masing menetap di Pulau Pinang kemudian dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan, setiap seorang boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, dalam pemeriksaan berasingan di sebuah motel di Jalan Lembah Impiana, di sini mendapati, pasangan berusia 23 serta 25 tahun memberi alasan untuk berehat disebabkan hujan lebat selepas keluar berjalan-jalan di sekitar daerah ini dengan menunggang motosikal.

Namun alasan itu tidak diterima ketika disoal siasat sewaktu dicekup berkhalwat oleh penguat kuasa PADK di motel berkenaan pada jam 12.30 tengah malam tadi.

Anwar Sharifudin berkata, mereka juga memberi alasan baru bertunang namun hasil siasatan lanjut dengan ahli keluarga mendapati, mereka belum ada sebarang ikatan.

Katanya, pasangan itu turut dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan dan dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil dan kes disiasat mengikut enakmen yang sama.

Author

Pilihan Editor