CHINA: ‘Kembar yang belum lahir’ ditemukan pada imbasan seorang kanak-kanak selepas kanak-kanak tersebut dibawa masuk ke hospital akibat tumbesaran kepala besar dan masalah saraf otak.
Berdasarkan ndtv.com, penemuan itu telah menambah jumlah beberapa kes keadaan yang dikenali sebagai ‘fetus-in-fetu’ di mana kembar bercantum dalam rahim ibu tetapi hanya satu daripada keduanya berkembang.
Kes tersebut telah dibentangkan dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Neurology.
Doktor yang mengkaji kes tersebut turut mengesahkan janin kembar dalam kandungan itu telah membentuk anggota atas, tulang dan tunas seperti jari.
Istilah ‘kembar parasit’ digunakan untuk menggambarkan keadaan tersebut.
Menurut laporan dalam Sains IF, kes sedemikian dapat dikesan semasa trimester pertama kehamilan.
Keadaan ini boleh berlaku apabila sekumpulan sel yang terbentuk akibat persenyawaan telur wanita dan sperma lelaki gagal disenyawakan dengan baik.
Selain itu, sebab lain adalah disebabkan salah satu embrio diselubungi oleh embrio yang lain.
Hal ini menyebabkan kegagalan embrio untuk berkembang akibat diselubungi oleh embrio pasangan kembar yang lain.
Walaupun begitu, embrio tersebut kekal ‘hidup’ disebabkan oleh bekalan darah.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku.
Terdahulu, perut seorang remaja lelaki Mesir mengandungi janin yang telah berada di dalamnya selama 16 tahun ketika ditemukan pada 1997.
Malah, pada November 2022, lapan embrio dikeluarkan dari perut bayi berusia 21 hari di Ranchi Jharkhand.