HomeGaya HidupSuka makan sotong? Mari belajar cara siang pelbagai jenis sotong

Suka makan sotong? Mari belajar cara siang pelbagai jenis sotong

 

SOTONG sememangnya menjadi lauk kegemaran ramai, baik sambal sotong, sotong bakar, sotong sumbat, gulai sotong dan pelbagai jenis lagi masakan.

Namun lauk sotong selalunya agak mahal untuk dimakan selalu di kedai. Jadi untuk lebih puas makan, elok kita beli sotong segar di pasar dan masak sendiri. Tapi berapa ramai di antara kita yang tahu cara yang betul untuk menyiang sotong sebelum memasaknya?

Bagi anda yang baru belajar memasak, perlu diketahui bahawa sotong ada beberapa jenis. Kali ini kita akan belajar cara menyiang sotong mengikut jenis-jenisnya.

Berikut adalah cara-cara penyediaan sotong mengikut jenisnya seperti yang dikongsikan portal myresipi dan Umpan.

1. Sotong torak dan sotong cumi/jarum

Sotong torak banyak ditemui di kawasan Pantai Timur semenanjung dan menjadi sotong buruan utama kaki pancing apabila tiba musim mencandat sotong.

Sotong torak mempunyai badan dan sesungut yang panjang. Sotong torak boleh membesar sehingga saiz melebihi panjang satu hasta orang dewasa.

Sotong torak. – Foto: Sotonglaut.blogspot

Manakala sotong cumi atau sotong jarum hampir menyerupai sotong torak di mana mempunyai bentuk badan yang memanjang namun biasanya saiz sotong jarum lebih kecil berbanding sotong torak.

Selain itu, warna merah pada kulit di badan sotong jarum lebih jelas.

Sotong cumi. – Foto: FB Udang Galah Borong
  • Sediakan papan pemotong dan pisau tajam.
  • Letakkan sotong di atas papan pemotong dan pisahkan kepala dari badannya.
  • Buang dakwat hitam yang terdapat di dalam badan sotong dan kantung dakwat di kepala.
  • Hiris sotong dengan hati-hati, pastikan untuk buang biji mata sotong.
  • Hiris sotong secara menegak di bahagian kepala, pastikan tidak terbelah dua.
  • Buang gigi sotong.
  • Buang tulang belakang dan kulit ungu pada badan sotong.
  • Potong badan sotong mengikut kesesuaian.

2. Sotong tanpa memotong kepala

Adakalanya kita hendak masak sotong sekali dengan kepalanya, seperti sotong bakar atau gulai sotong. Jadi boleh kita siang dengan cara begini.

  • Potong sedikit badan sotong dengan gunting tajam.
  • Buang kantung dakwat pada kepala sotong.
  • Buang pasir atau ikan kecil yang terdapat dalam badan sotong.
  • Hiriskan mata sotong dengan pisau tajam di bahagian tengah.
  • Buang gigi sotong dengan menekan kepala sotong.
  • Bersihkan dengan air sebelum memasak.

3. Sotong katak

Berbeza dengan spesies sotong lain, sotong katak agak istimewa dan berbeza kerana memiliki tulang yang keras. Disebabkan tulang keras tersebut maka cara untuk menyiang sotong ini juga berbeza dengan sotong lain.

Sotong katak. – Foto: Umpan
  • Potong perut sotong dengan berhati-hati.
  • Tarik kepala sotong keluar dan buang isi perut yang tidak diperlukan.
  • Pisahkan kantung dakwat pada kepala sotong.
  • Tarik keluar tulang belakang sotong.
  • Belah badan sotong menjadi empat bahagian.
  • Potong mengikut keinginan.

4. Sotong kembang

Sotong kembang boleh didapati di kedai untuk dibuat masak sambal. Contohnya, sambal merah dan sambal hijau.

Namun begitu, kaedah menyiang sotong ini agak berbeza dari sotong biasa. Ada teknik rendaman tersendiri untuk menghilangkan bau hanyir sotong kembang.

Begitu juga dengan cara membuang selaput di permukaan sotong dan cara pemotongan yang betul.

Sotong kembang. – Foto: Supplybunny
  • Rendam sotong kembang dalam campuran garam kasar, lemon, dan air selama 15 minit.
  • Pisahkan kepala dari badan sotong dan buang lapisan berlendir.
  • Potong mengikut keinginan.

Nota: Tujuan rendaman dengan garam dan lemon adalah untuk menghilangkan bau hanyir, membuang lendir dan mengenyalkan sotong.

Mudahkan cara siang sotong? Sotong adalah antara hidangan yang mudah dimasak dan sedap dimakan walau pun dimasak dengan cara yang ringkas.

Walaupun harga sotong segar di pasar masih tinggi, namun jika dibeli dan dimasak sendiri, kepuasan memakannya lebih maksimum berbanding dengan ‘dicekik darah’ jika dimakan di kedai.

Author

Pilihan Editor