HomeSukanLee Chong Wei kecewa sikap pemain

Lee Chong Wei kecewa sikap pemain

PEMAIN badminton negara harus sedar betapa tiada jalan singkat untuk berjaya.

Bagi bergelar jaguh dunia, ia memerlukan disiplin, komitmen dan pengorbanan yang cukup tinggi dalam diri setiap pemain.

Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, berkata sekalipun Malaysia membawa masuk jurulatih terbaik dunia namun ia tidak akan mendatangkan apa-apa hasil sekiranya tiada kesungguhan tinggi daripada pemain.

“Perkara nombor satu sebagai atlet sukan adalah disiplin dan komitmen. Tengok bintang tenis Roger Federer, Rafael Nadal dan pemain bola sepak, Cristiano Ronaldo.

“Mereka sangat berdisiplin kerana mereka tahu hanya dengan cara itu boleh meletakkan mereka pada tahap sekarang. Mereka sedar, mereka perlu berkorban untuk berjaya.

“Semuanya perlu datang daripada atlet itu sendiri, mereka mahu atau tidak. Jika kita bawa jurulatih terbaik dunia sekalipun, jika tiada komitmen daripada pemain, tiada gunanya,” kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata apa yang disuarakannya selama ini bukan untuk memusnahkan kerjaya pemain sebaliknya mahu melihat mereka menjadi lebih baik.

Katanya, dia tidak dapat apa-apa bayaran dalam memberikan pandangan sebaliknya ia dibuat kerana cinta terhadap sukan badminton dan mahu melihat ia lebih maju.

“Saya cakap perkara yang betul berdasarkan pengalaman saya sebagai bekas pemain. Saya bukan mahu hentam pemain sesuka hati, saya beri nasihat untuk mereka menjadi lebih bagus.

“Tak kan pemain buat salah pun saya nak cakap dia bagus. Saya tahu orang hanya mahu dengar yang sedap saja, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya yang tiga kali meraih perak di Olimpik bermula Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

BH Sukan semalam melaporkan, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menuntut komitmen daripada pemain negara dalam usaha membentuk pasukan yang padu bagi saingan Piala Thomas di Chengdu, China, April depan.

Pandangan itu disuarakan Rexy selepas menyaksikan skuad lelaki negara terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tumpas 0-3 di tangan China pada aksi final Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Ahad lalu.

Katanya, siapa pun pemain yang dipilih, dia harus menunjukkan komitmen tinggi kepada pasukan selain perlu memiliki sifat patriotik yang tinggi bagi menggalas cabaran negara.

“Kalau kita tiada satu komitmen atau solid sebagai satu pasukan, kita hanya nampak kuat saja. Kalau orang Indonesia bilang, macam tong kosong tetapi bunyinya nyaring. Ini yang kita harus perbaiki.

“Pemain juga harus ada sifat patriotik, saya pernah ada pengalaman (ketika bersama skuad Indonesia), kalau ego saya lebih besar daripada Taufik (Hidayat) atau siapa pun dalam pasukan, kita memang tidak akan mampu (juara Piala Thomas 2002),” katanya. – Berita Harian

 

Authors

Pilihan Editor