HomeBeritaViralLelaki ini perjelas sebab orang Sarawak beli Gardenia tiap kali balik kampung

Lelaki ini perjelas sebab orang Sarawak beli Gardenia tiap kali balik kampung

PERNAHKAH anda berdepan situasi melihat seseorang yang bakal pulang ke kampung halamannya di Sarawak, membeli bungkusan roti jenama Gardenia dengan kuantiti yang banyak?

Mungkin ada antara kita yang selaku ‘orang Semenanjung’ berasa hairan melihat tindakan sebilangan individu itu, namun tahukah anda punca sebenar mereka berbuat demikian?

Baru-baru ini, seorang lelaki tampil memberi penjelasan berhubung sikap sesetengah ‘Sarawakian’ yang wajib membeli roti Gardenia untuk dibawa pulang ke kampung halaman.

Menerusi perkongsian di Facebook Ben Safwan, dia menyifatkan roti Gardenia itu adalah sebahagian daripada buah tangan buat sanak-saudara di Sarawak.

“Inilah (roti Gardenia) antara barang yang dinanti ahli keluarga sanak-saudara jika ingin pulang dari Semenanjung balik ke Sarawak. Kenapa Gardenia tiada di Sarawak ke??

“Begini. Dulu tiada, tapi sekarang ada di sesetengah pasaraya besar. Perbezaan dia contoh roti itu di Semenanjung RM5, di sini RM10.50.

“Kalau RM1.30, di sini RM2.50. Begitu. Itupun hanya di bandar besar seperti Kuching, Miri, Bintulu dan lain-lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ben turut menyatakan terdapat beberapa punca yang menyebabkan harga roti Gardenia sedikit mahal di Sarawak.

“Ada banyak teori dari dulu. Antaranya isu melibatkan pemegang roti di Sarawak, isu kos yang tidak efektif untuk buka kilang di sini.

“Cukup disimpan sendiri dan akak abang tahu kalau kita bawa pulang ke Sarawak roti Gardenia ini, ianya sebuah saat menggembirakan.

“Andai diri ini ialah anak kecil yang dapat makan roti Gardenia, maka kenangan manis kekal dalam ingatan dan pasti jika suatu hari, anak ini berkerja di Semenanjung, bila pulang nanti buah tangan roti Gardenia mesti menjadi pilihan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor