SEORANG lelaki yang sedang dipenjarakan membuat pengakuan bahawa, tindakannya membunuh seorang individu berpunca daripada pertengkaran berkaitan dadah.
Menurut Nicholas McGee, 45, dia menyembunyikan kepala dan bahagian badan mangsa dikenali sebagai Kawsheen Gelzer, 40, di dalam peti sejuk selama dua tahun.
Perkara itu dilakukan selepas pembunuhan di unit apartmentnya di Flatbush, dekat New York, Amerika Syarikat (AS) pada 22 Mac 2022.
Ketika kejadian, Gelzer dilapor tertidur di atas sofa di kediaman McGee, sebelum suspek menusuk belakang badan mangsa menggunakan sebilah pisau.
Tindakan itu menyebabkan mangsa terbangun akibat terkejut, sebelum berlaku pergelutan antara kedua-duanya.
Pergaduhan berakhir apabila Gelzer ditikam beberapa kali dan dicederakan dengan penukul.
Selepas kematian Gelzer, McGee dan isterinya, Heather Stines, 45, bertindak mencuri dadah daripada poket mangsa sebelum menghisap bahan terlarang itu.
Mayat mangsa kemudian dikerat kepada beberapa bahagian menggunakan gergaji, sebelum dimasukkan ke dalam beg pakaian dan disimpan di dalam peti sejuk.
“Saya menyimpannya dan cuba untuk melupakan peristiwa itu,” kata McGee seperti dilapor New York Post.
Suspek pada mulanya mempertimbangkan untuk mengebumikan mayat, namun cadangan itu terbantut selepas mengambil kira urusan itu sebagai rumit, ditambah pula dengan suasana sibuk di bangunan apartment terbabit.
Berita kehilangan mangsa mula berlegar-legar sejak tahun lalu.
Suspek kecewa dengan mangsa
Menurut McGee, dia berasa muak dan bosan dengan kelakuan mangsa yang disifatkan kurang menyenangkan.
Pada masa sama, McGee yang menganggap konon dirinya sebagai mangsa mengakui kecewa dengan mangsa kerana tidak mengedarkan dadah kepada suami isteri itu.
McGee juga mendakwa, Gelzer yang pernah disabitkan dengan kesalahan mencabul kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun pada 2005 itu tidak menghormati pasangan tersebut.
Polis serbu rumah suspek
Sementara itu, jiran yang tinggal berdekatan mendakwa, mereka sememangnya mengetahui terdapat pergelutan berlaku di dalam unit apartment pasangan berkenaan.
Meskipun Stines membenarkan pelawat mengunjungi kediamannya, namun wanita itu sama sekali tidak membenarkan mereka mendekati peti sejuk.
Wanita itu juga didakwa cuba menghalang pihak polis daripada memasuki kediamannya.
Namun, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua yang mana rahsia itu akhirnya terbongkar, selepas pihak berkuasa tersebut bertindak membuat serbuan.
Susulan itu, polis menemukan kepala serta bahagian badan mangsa di dalam peti sejuk pada Isnin lalu.
Rabu lalu, Stines didakwa atas tuduhan menyembunyikan mayat selepas menjalani pemeriksaan psikiatri.
McGee yang kini ditahan di penjara Chesapeake, di Virginia berdepan dengan pertuduhan menipu identiti.
Lelaki itu juga dijangka menghadapi pertuduhan membunuh dalam beberapa hari akan datang, menurut sumber penguatkuasa undang-undang.