HomeBeritaLetupan gas 'acetylene' di Puchong: Keadaan mayat tidak sempurna

Letupan gas ‘acetylene’ di Puchong: Keadaan mayat tidak sempurna

 

PUCHONG: Mayat dua individu yang meninggal dunia dalam kejadian letupan gas ‘acetylene’ di sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini, hari ini, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menjangkakan akan mengambil masa beberapa jam bagi melakukan siasatan serta membawa keluar mayat, lapor Harian Metro.

“Keadaan mayat mangsa tidak sempurna dan disebabkan itu kita perlu masa untuk selesaikan siasatan di lokasi dan bawa keluar mayat.

“Dua lagi mangsa yang cedera pula diberikan bantuan pernafasan serta rawatan awal di lokasi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, salah seorang mangsa yang cedera adalah dipercayai pemilik premis berkenaan yang sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

“Identiti mangsa yang meninggal dunia masih belum dapat dikenal pasti kerana keadaannya yang tidak sempurna.

“Mayat dua mangsa berkenaan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, terdapat 45 tong gas ditemukan di dalam premis itu yang diperiksa oleh pihak bomba.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapat tiada tong gas yang bocor dalam 45 tong berkenaan.

“Dari segi keselamatan, premis itu dan kawasan sekelilingnya adalah selamat. Malah, premis terletak berhampiran lokasi kejadian dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya.

Mengulas mengenai punca kejadian itu, beliau berkata, pihak forensik bomba bersama pihak polis sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian.

“Siasatan mendalam perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian termasuk melihat sekiranya ada berlaku pelanggaran spesifikasi,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua individu meninggal dunia, manakala dua lagi cedera dalam kejadian letupan gas ‘acetylene’ di sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini, hari ini.

Author

Pilihan Editor