HomeGlobalMcDonald's dan Starbucks akui jualan, saham terjejas akibat boikot

McDonald’s dan Starbucks akui jualan, saham terjejas akibat boikot

 

KONFLIK antara Israel dan pejuang Palestin di Gaza telah menjejaskan jualan McDonald’s di Timur Tengah, kata rangkaian makanan segera Amerika Syarikat (AS) itu.

Pendapatan suku keempat syarikat yang dikeluarkan pada Isnin adalah di bawah jangkaan pasaran, dengan syarikat gergasi burger itu menyebut kesan konflik di Timur Tengah sebagai punca. Pertumbuhan jualan dalam pasaran francais berlesen juga lebih lemah daripada jangkaan. Saham McDonald’s jatuh hampir 4 peratus menurut laporan itu.

Sebuah lagi syarikat Amerika, francais kopi Starbucks, juga mendedahkan minggu lalu bahawa ia tidak mencapai ramalan pendapatan oleh Wall Street pada suku keempat 2023 akibat jualan domestik dan antarabangsa menurun. Rangkaian kedai kopi itu juga menyebut kesan konflik di Gaza, serta peningkatan diskaun oleh pesaing di pasaran luar negara sebagai punca.

Kedua-dua gergasi restoran itu adalah antara beberapa jenama Barat yang terkesan oleh kempen boikot kerana sikap mereka yang dianggap pro-Israel, lapor RT.

McDonald’s berkata, syarikat itu menyaksikan jualan yang lebih lemah di negara-negara majoriti Islam, seperti Malaysia dan Indonesia, dan di Perancis, yang mempunyai penduduk Islam terbesar di Eropah Barat. McDonald’s AS bagaimanapun tidak mencatat sebarang kesan ke atas jualan domestiknya.

Minggu lalu, Starbucks mengakui bahawa boikot bukan sahaja menjejaskan jualannya di Timur Tengah tetapi juga di AS.

Author

Pilihan Editor