TIDAK ada siapapun menjangka akan menemukan ikan paus di tengah-tengah hutan hujan Amazon.
Tetapi inilah yang berlaku di hutan hujan Amazon pada tahun 2019.
Bangkai ikan paus berukuran 36 kaki ditemui jauh di luar habitat semula jadinya, dan tiada siapa yang tahu bagaimana ia boleh sampai ke sana, lapor Unilad.
Kejadian menyedihkan itu berlaku di pulau Marajo, di muara sungai Amazon. Paus kelasa itu – yang seberat 10 tan – ditemukan di dalam semak di sebuah tempat bernama Pantai Araruna.
Ada beberapa teori tentang bagaimana ikan paus itu – yang ditemui 50 kaki dari laut – sampai ke sana.
Tekaan terbaik yang boleh dibuat oleh saintis ialah makhluk itu terkeluar dari air dan sampai ke dalam hutan akibat laut yang bergelora.
Bagi memahami sepenuhnya apa yang berlaku, sepasukan pakar pergi ke lokasi untuk cuba memastikan bagaimana paus malang itu mati.
Semasa di sana, pakar menganggarkan bahawa ikan paus itu masih lagi anak yang berusia 12 bulan, tetapi mereka terus cuba memahami bagaimana ia mati.
Pasukan itu, yang dihantar oleh NGO Bicho D’Agua Institute, menerbitkan catatan Facebook yang mencadangkan bahawa haiwan itu mungkin terjerat di dalam hutan bakau selepas tercampak ke daratan pulau itu.
Sementara itu, akhbar Maritime Herald mengatakan ikan paus itu mungkin mati akibat memakan plastik di lautan.
Dirlene Silva, dari SEMMA – Jabatan Alam Sekitar, Kesihatan dan Sanitasi Brazil – memberitahu media tempatan: “Kami menemukan ikan paus itu kerana ternampak kehadiran burung pemangsa.
“Burung nasar itu dilihat berpusing-pusing di atas bangkai yang tersembunyi di dalam semak agak jauh dari laut,” katanya.
Presiden Bicho D’Agua dan pakar marin Renata Emin berkata, mereka masih tidak pasti bagaimana ia mendarat di situ, tetapi mereka mengandaikan bahawa paus itu terapung dekat dengan pantai dan air pasang, yang agak ketara sejak beberapa hari lalu, membawanya ke dalam hutan bakau.
“Begitu pun, kami bingung apa yang sebenarnya dilakukan oleh ikan paus kelasa itu di pantai utara Brazil pada bulan Februari kerana kejadian ini sangat luar biasa,” katanya.
Pasukan itu amat bingung kerana ikan paus biasanya berada di kawasan Bahia antara Ogos dan November. Mereka kemudiannya berhijrah ke Antartika.
Emin berkata, ikan paus kelasa biasanya tidak pergi ke utara. Mereka mempunyai rekod seekor paus yang muncul di kawasan itu tiga tahun lalu, tetapi ia jarang berlaku.
“Kami percaya ini adalah anak paus yang mungkin dalam perjalanan bersama ibunya dan mungkin tersesat atau terpisah semasa kitaran migrasi antara dua benua,” katanya.