GEORGETOWN: Solat di belakang seorang imam yang fasik atau merokok adalah sah, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Beliau berkata demikian berdasarkan pandangan mantan Mufti Arab Saudi, Almarhum Sheikh Abdul ‘Aziz Baz sebelum ini.
“Bagaimanapun adalah wajib ke atas kerajaan melantik imam daripada kalangan orang baik-baik dan istiqamah (baik ibadah dan akhlak),” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, hari ini.
Wan Salim berkata demikian ketika mengulas video tular di media sosial mengenai seorang individu yang mendakwa solat seseorang Muslim itu tidak sah sekiranya imam berkenaan merokok.
Menerusi video itu, individu berkenaan mendakwa solat imam yang merokok juga tidak sah kerana rokok mempunyai najis termasuk hemoglobin babi manakala tembakau pula direndam dengan arak supaya tahan lama dan kerana itu seseorang itu tidak layak menjadi imam.
Mengulas lanjut, Wan Salim turut menasihati imam yang merokok supaya menghentikan tabiat itu.
“Kita mahu menonjolkan imej seorang imam yang boleh dijadikan teladan yang baik bagi jemaah.
“Jadi, nasihat saya kepada imam, cubalah hentikan tabiat yang tidak baik ini,” katanya.