NASI ambeng, air katira, burasak, mi kolok dan jeruk tuhau antara 10 jenis hidangan diwartakan sebagai makanan warisan negara dalam Pengisytiharan Objek Warisan 2024, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin berkata, makanan itu telah diwartakan sebagai objek warisan melalui kuasa yang diberikan kepadanya oleh subseksyen 49(1) Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].
Nasi ambeng merupakan masakan Jawa yang popular khususnya di negeri Johor.
Manakala air katira merupakan sebuah air minuman yang diadun dengan campuran herba-herba yang mempunyai khasiat yang tinggi serta menyegarkan.
Kebiasaannya, dua jenis hidangan ini sangat mendapat sambutan apabila menjelang bulan puasa khususnya di negeri Johor.
Nasi ambeng sesuai dihidangkan dengan gaya beramai-ramai dengan disaji di dalam dulang. Bahkan ianya juga sesuai digandingkan bersama air katira untuk menjamu selera.
Mohamad Muda berkata, selain daripada menu tersebut, hidangan lain yang telah diwartakan dalam makanan warisan termasuklah dodol kukus tahi minyak, kuih genggang atau lapis, kuih karas, uthuppam dan bak ku teh, lapor Sinar Harian.
“Nasi ambeng dan mi kolok berada dalam kategori makanan ruji manakala dodol kukus tahi minyak, kuih genggang dan karas berada di dalam kategori kuih-muih.
“Bak kut teh disenaraikan sebagai objek dalam kategori sup manakala jeruk tuhau (makanan pembuka selera) dan air katira (minuman),” katanya.