HomeBeritaAgong sokong pelaksanaan subsidi bersasar

Agong sokong pelaksanaan subsidi bersasar

 

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyokong langkah kerajaan memperkenalkan langkah penjimatan drastik dan melaksanakan pemberian subsidi bersasar.

Sultan Ibrahim bertitah, ini kerana baginda kecewa apabila dimaklumkan kerajaan sedang menanggung beban hutang semakin besar, selepas berada dalam kedudukan defisit fiskal sejak 1998.

Malah, baginda turut mempersoalkan sama ada bebanan hutang itu yang mahu ditinggalkan pentadbiran negara kepada generasi muda nanti, lapor Berita Harian.

“Kerajaan sukar melaksanakan projek pembangunan baharu atau memberi suntikan kewangan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi susulan keadaan kewangan yang lemah ini.

“Dalam pada itu, dasar baharu perlu terus diperkenal bagi melengkapi dasar nasional lain, seiring pendekatan negara lebih menyeluruh.

“Antaranya pengenalan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang juga inisiatif pembaharuan fiskal bagi meningkatkan tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dan pengurusan kewangan awam,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Author

Pilihan Editor