TINDAKAN Israel yang membedil tanpa henti di bumi Palestin nyata membuatkan rata-rata rakyat di seluruh negara turut berduka.
Manakan tidak, setiap hari ada sahaja laporan berita berhubung jumlah mangsa yang terkorban melibatkan insan tidak berdosa termasuklah anak kecil yang belum sempat mengenal dunia.
Terbaharu, Israel berikrar untuk meneruskan operasi ketenteraan secara besar-besaran di Rafah, wilayah paling selatan di Gaza, selepas penduduk Palestin di kawasan itu dikosongkan.
Pada masa sama, gesaan antarabangsa terus memuncak supaya rejim Zionis itu menangguhkan penghantaran tenteranya ke bandar terbabit yang kini sesak dengan lebih 1.2 juta penduduk.
Semangat solidariti bersama Palestin masih jitu di pelosok dunia termasuklah rakyat di Malaysia yang tidak henti-henti mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin.
Malah, tanda pagar #AllEyesonRafah dan #SaveRafah membanjiri media sosial susulan warga net berkongsi kisah penderitaan penduduk di Rafah.
Terbaharu, muncul sekumpulan individu mencadangkan supaya orang ramai mengenakan pakaian berwarna hijau pada 18 Februari ini sebagai tanda solidariti bersama Palestin.
Poster hebahan mengenai ‘Wear Green For Rafah’ turut berlegar-legar di media sosial dan majoriti warga net, bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Mari sama-sama kita bersolidariti untuk Palestin, untuk Rafah,” kongsi netizen di aplikasi TikTok.
“Please wear (warna hijau) for Rafah. Allah sedihnya, Allah,” ungkap seorang lagi warga maya.
“Masha Allah. Masa itu tengah reunion dengan kawan belajar and memang plan nak pakai baju hijau pun masa last day reunion. Masha Allah,” kongsi netizen.