HomeBeritaViral‘Datuk Seri masuk orientasi tak?’ – Netizen kagum, Ismail Sabri sambung belajar...

‘Datuk Seri masuk orientasi tak?’ – Netizen kagum, Ismail Sabri sambung belajar di UUM

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menyatakan bahawa beliau kini kembali bergelar mahasiswa dengan menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menerusi hantaran di Facebook rasminya, Naib Presiden UMNO itu memaklumkan, sudah menerima kad pelajarnya.

“Alhamdulillah hari ini dapat kad pelajar. Rasmi, hari ini saya jadi pelajar. Tak sangka tua-tua masih jadi pelajar.

“Inilah yang dikatakan belajar sepanjang hayat,” tulisnya.

Sebelum ini, Ismail, 64, merupakan seorang graduan jurusan undang-undang di Universiti Malaya (UM) kemudian menjadi peguam pada 1985 sebelum menceburi arena politik dua tahun selepas itu.

Difahamkan, bekas pegawai kanannya, Kamarul Zaman Yusoff merangkap pensyarah kanan universiti itu akan menjadi penasihat tesisnya.

Beliau akan menyediakan tesis berkenaan tindakan yang diambil negara dalam menangani wabak Covid-19 dan sudah membentangkan cadangan penyelidikan untuk ijazah doktor falsafahnya (PhD).

“Tesis saya mengenai tindakan Malaysia dalam memerangi Covid-19.

“Malaysia diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai antara negara yang terbaik dalam memerangi Covid-19,” katanya memetik, Berita Harian pada Jumaat.

Tambah beliau, tiada satu pun negara yang boleh dijadikan contoh dalam pengurusan wabak itu kerana ia kali pertama melanda dunia.

“Saya berharap dunia dapat melihat bagaimana pengalaman dan tindakan Malaysia memerangi Covid-19,” ujarnya.

Menjengah di ruangan komen hantaran berkenaan, rata-rata netizen kagum dan mengucapkan tahniah kerana menyambung pengajian.

“Tahniah Datuk Seri. Pembelajaran tiada had, dari buaian hingga ke liang lahad. You really walked the talk’ (cakap serupa bikin),” komen warga net.

“Semoga berjaya Datuk Seri. Bangga kad matrik kita sama,” kata netizen.

“Datuk Seri masuk orientasi tak?” seloroh netizen.

“Belajar rajin-rajin ya Datuk… jangan ponteng kelas,” tulis warga net.

Author

Pilihan Editor