HomeGlobalPengusiran penduduk Gaza tidak boleh diterima – Menteri Luar Mesir

Pengusiran penduduk Gaza tidak boleh diterima – Menteri Luar Mesir

MENTERI Luar Mesir, Sameh Shoukry berkata pada Sabtu bahawa isu pengusiran penduduk, yang merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa – sama ada di dalam atau ke luar negara – tidak boleh diterima.

Bercakap di Persidangan Keselamatan Munich, Shoukry menyifatkan akibat dan ancaman yang ditimbulkan oleh pengusiran itu kepada keselamatan negara Mesir adalah besar.

“Ia memberi tekanan kepada hubungan dua hala kami dengan Israel,” katanya.

“Kita perlu mengelak akibat yang sangat tragis ke atas orang awam Gaza yang kini terkumpul di kawasan paling padat penduduk di dunia,” kata menteri itu.

“Anda boleh bayangkan bahawa sebarang tindakan ketenteraan yang meluas di sana akan memberi kesan buruk kepada situasi kemanusiaan. Orang ramai sudah menderita,” tambah Shoukry.

Pada Khamis, The New York Times melaporkan bahawa Mesir sedang membina tembok berhampiran sempadan Genting Gaza yang dilanda perang, tetapi tiada siapa yang bercakap mengenainya.

“Tidak jelas sama ada struktur itu mungkin bertujuan untuk menghalang penduduk Gaza daripada melintasi sempadan,” kata laporan itu.

Shoukry bagaimanapun menafikan bahawa Mesir sedang bersiap sedia untuk menerima pelarian Palestin sekiranya berlaku pencerobohan Israel ke atas Rafah, lapor The Palestine Chronicle.

“Ia hanyalah satu andaian,” katanya, sambil menambah, “kami sentiasa melakukan penyelenggaraan di sempadan kami jadi saya fikir ia membuat kesimpulan berdasarkan aktiviti tersebut”.

Pegawai Israel telah berulang kali menyeru untuk melakukan pembersihan etnik rakyat Palestin dari Genting Gaza.

Dokumen kerajaan Israel, pertama kali dilaporkan dalam media Israel dan bertarikh 13 Oktober, mencadangkan pengusiran besar-besaran berjuta-juta rakyat Palestin ke padang pasir Sinai Mesir.

Kerajaan Mesir, bagaimanapun, berulang kali menolak rancangan untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa dan pengusiran mereka ke wilayah Mesir di Sinai.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 28,858 rakyat Palestin telah terkorban, dan 68,677 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai oleh Israel yang berterusan di Gaza bermula pada 7 Oktober.

Lebih-lebih lagi, sekurang-kurangnya 7,000 orang tidak dapat dikesan, dianggap syahid di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh genting itu.

Pertubuhan Palestin dan antarabangsa mengatakan bahawa majoriti yang terkorbab dan cedera adalah wanita dan kanak-kanak.

Serangan Israel juga telah mengakibatkan pemindahan hampir dua juta orang dari seluruh Genting Gaza, dengan sebahagian besar pelarian terpaksa masuk ke bandar selatan Rafah yang padat, berhampiran sempadan dengan Mesir – yang menjadi penghijrahan beramai-ramai terbesar di Palestin sejak Nakba 1948.

Author

Pilihan Editor