HomeHiburanPesta Muzik Kuantan ditunda 4 Mei, hormati Ramadan

Pesta Muzik Kuantan ditunda 4 Mei, hormati Ramadan

CYBERJAYA: Pesta Muzik Kuantan yang dijadualkan berlangsung pada 24 Februari 2024 ditunda pada 4 Mei 2024.

Pihak penganjur, Showpro Entertainment Sdn Bhd memaklumkan bahawa, keputusan itu dibuat bagi menghormati pandangan masyarakat terutamanya masyarakat Islam yang akan menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.

“Tidak ada yang lebih diutamakan oleh pihak penganjur selain menjaga sensitiviti, toleransi demi keharmonian serta menghormati pelbagai kaum dan agama sebagai rakyat Malaysia tercinta.

“Pihak penganjur juga telah menukar nama acara ini ke UNGU di Kuantan Bersama Artis Tanah Air.

“Keputusan penundaan UNGU di Kuantan Bersama Artis Tanah Air ini juga dipersetujui baik oleh seluruh barisan artis dan pihak yang terlibat,” maklum Showpro dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, pihak penganjur turut menzahirkan permohonan maaf kepada semua pembeli tiket konsert.

“Semua pembeli tiket konsert boleh mengekalkan status pembelian memandangkan hanya perubahan kepada tarikh konsert sahaja iaitu dari 24 Februari 2024 ditunda ke tarikh 4 Mei 2024.

“Justeru, pihak penganjur amat menghargai semua pihak yang memberi kerjasama dan menyokong  serta memohon maaf sekali lagi di atas kesulitan ini,” katanya.

Untuk makluman, UNGU di Kuantan Bersama Artis Tanah Air pada asalnya mempunyai objektif untuk terus melestarikan budaya, menggalakkan apresiasi seni dan membantu penjanaan ekonomi di karnival jualan produk tempatan seperti makanan dan cenderahati serta aktiviti-aktiviti menarik di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Malah, acara yang mendapat sambutan hangat itu juga akan melibatkan barisan artis terkemuka seperti Ungu, Eda Ezrin, Ara Johari, Naim Daniel, Khai Bahar, Nabila Razali, Den Manjo dan Aswad Jalil.

Author

Pilihan Editor