PELAKON, Puteri Sarah mengambil tindakan undang-undang dengan mengemukakan saman bernilai RM1 juta terhadap seorang wanita bernama Nazatul Nazira.
Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, berkongsi hal terbabit menerusi media sosialnya dengan memuat naik tangkap layar surat guaman.
Berdasarkan surat itu, pihak Sarah memfailkan saman atas beberapa perkara termasuklah kenyataan berbaur fitnah dan tidak benar mengenai dirinya yang bertujuan menjatuhkan reputasinya.
“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padanya,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Antara tuntutan daripada pihak Sarah adalah permohonan maaf secara terbuka daripada pihak individu terbabit serta ganti rugi sebanyak RM1 juta.
“Menarik semula keseluruhan kenyataan yang tidak benar dan fitnah tersebut dan membuat satu permohonan maaf kepada anak guam kami (Sarah) secara terbuka.
“Ganti rugi sebanyak RM1 juta secara berasingan sebagai ganti rugi untuk kerosakan yang dilakukan terhadap status, reputasi, maruah, imej anak guam kami serta tekanan psikologi dan/atau mental dan/atau emosi yang dialami olehnya,” demikian antara tuntutan dalam surat dikongsikan Sarah.
Dalam surat sama turut dinyatakan lima bukti kenyataan yang dimuat naik dalam Instagram.
Antaranya adalah menuduh Puteri Sarah mengambil dadah, menganggap diri sebagai rakan kongsi, menggelar Puteri Sarah seorang bodoh sombong, menyara atau membela individu yang dipercayai bernama ‘Andy’ dan seorang ketua yang tidak bertanggungjawab terhadap para pekerja.