SEORANG remaja lelaki Thailand berusia 15 tahun cedera teruk selepas dibelasah sekumpulan remaja lain atas alasan dia terlalu kacak.
Penduduk di Ban Nong Kanon Simma di daerah Ban Dung di Udon Thani menggesa polis mengambil tindakan terhadap kumpulan remaja berusia antara 12 dan 16 tahun, yang melakukan serangan fizikal ke atas Mooyong yang berusia 15 tahun, lapor Thaiger.
Mooyong dimasukkan ke Hospital Putera Mahkota Bandung pada petang 11 Februari selepas serangan fizikal itu. Dia tidak sedarkan diri selama dua hari akibat serangan itu. Setelah pulih, Mooyong menceritakan kejadian itu kepada Saluran 3 pada 14 Februari.
Menurut Mooyong, dia bersama empat rakannya pergi ke kedai gunting rambut pada hari itu dan terserempak dengan sekumpulan empat remaja. Kumpulan itu mendesak mereka menghentikan motosikal dan mencabar mereka untuk bergaduh.
Apabila Mooyong bertanya tentang punca kemarahan mereka, kumpulan itu menjelaskan mereka iri hati dengan ketampanannya.
Mooyong berkata, kumpulan remaja itu mengacukan dua pistol, menyebabkan dia tidak dapat melawan. Semasa pertengkaran itu, salah seorang anggota kumpulan itu, Bas, 16 tahun, memukul lehernya, menyebabkan dia pengsan di tempat kejadian. Rakan Mooyong kemudian membawanya ke hospital dengan motosikal.
Jelas Mooyong lagi, disebabkan rakan-rakannya meninggalkan tempat kejadian dengan tergesa-gesa, mereka secara tidak sengaja mengheret kakinya di sepanjang laluan ke hospital sehingga kakinya turut cedera.
Penduduk Ban Nong Kanon Simma memaklumkan Saluran 3 bahawa kumpulan remaja yang bertanggungjawab menyerang Mooyong berasal dari pelbagai komuniti di wilayah jiran, Sakon Nakhon.
Mereka berkata, Mooyong bukanlah mangsa pertama. Suspek remaja itu telah menembak seorang lagi mangsa bulan lalu. Bagaimanapun, tiada tangkapan atau perkembangan dalam kes itu.
Pemimpin Ban Nong Kanon Simma, Boonhome Jankhiao berkata, remaja itu mungkin meniru perbuatan pembunuh remaja yang membunuh seorang wanita Thailand di wilayah Sa Kaeo.
Beliau percaya hukuman ringan terhadap penjenayah muda mendorong mereka melakukan jenayah.
Setakat ini, tiada sebarang maklum balas daripada anggota polis di kawasan itu mahupun pihak berkuasa pentadbiran berhubung kes itu.