SEKURANG-KURANGNYA 18 orang penduduk Palestin terbunuh dalam serangan Israel di beberapa bahagian Genting Gaza, kata sumber pada Ahad.
Tentera Israel meneruskan serangan ke atas Rafah – di mana penduduk Palestin dari beberapa bahagian Gaza berlindung – termasuk Khan Younis dan bandar-bandar di bahagian utara.
Menurut saksi, sekurang-kurangnya 10 mangsa terbunuh dalam serangan udara ke atas sebuah rumah di timur Rafah, lapor Anadolu.
Beberapa orang turut terbunuh dan cedera dalam serangan ke atas rumah lain di kawasan itu. Pasukan Pertahanan Awam mengesahkan mangsa yang terbunuh dan cedera telah dikeluarkan daripada rumah yang dibom.
Dalam satu lagi serangan udara ke atas sebuah kediaman di daerah Rimah di Bandar Gaza, mayat lapan mangsa telah dikeluarkan daripada runtuhan.
Israel melancarkan serangan ke atas Genting Gaza pada 7 Oktober yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 27,238 dan mencederakan 66,452 penduduk Palestin ekoran serangan mengejut oleh pejuang Hamas. Hampir 1,200 rakyat Israel dipercayai terbunuh dalam serangan Hamas itu.