HomeBeritaSultan Selangor zahir dukacita kenyataan Hadi Awang

Sultan Selangor zahir dukacita kenyataan Hadi Awang

CYBERJAYA: Kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang ditujukan secara sinis kepada para pemimpin dan golongan profesional mendapat perhatian Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kenyataan bertajuk Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan itu dikeluarkan di portal berita pas.org.my pada Februari lalu.

Susulan itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat dukacita terhadap kenyataan sinis yang didakwa ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Raja-Raja Melayu.

Menurut Setiausaha Sulit Sultan Sharafuddin, Datuk Muhamad Munir Bani, baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.

Jelas Muhamad Munir, antara intipati surat berkenaan, Baginda menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan Baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari 2024.

“Kenyataan sinis Abdul Hadi itu secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan Baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

“Kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu di negara ini.

“Sekiranya Abdul Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan Baginda, beliau akan dapat memahami maksud sebenar Baginda,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Muhamad Munir turut mempersoalkan tindakan Abdul Hadi mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Menurut beliau, hal itu berikutan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada 1957.

“Baginda menasihatkan Abdul Hadi supaya lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan beliau yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

“Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing,” katanya.

Author

Pilihan Editor