CYBERJAYA: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong berdepan dengan kecaman setelah bertindak menuding jari ke arah media sebagai punca kepada kemelut yang sedang melanda kem terjun negara ketika ini.
Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap berkata, pihaknya kecewa dengan dakwaan itu dan menegaskan bahawa, atlet tersebut tidak boleh menyalahkan media berhubung prestasi kem terjun di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.
Norismadi turut menegaskan, media sukan adalah profesional dalam menjalankan tugas dan menyampaikan laporan sama ada cetak, elektronik mahu pun portal dalam talian.
“Laporan dibuat berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan dan segala sesi direkodkan sebagai rujukan dalam penulisan. Justeru, adalah tidak adil untuk menuding jari terhadap media secara melulu.
“Media tidak pernah menafikan sumbangan yang telah diberikan oleh Datuk Pandelela, namun untuk menyalahkan media adalah tindakan yang tidak wajar,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low berkata, pihaknya akan memulakan siasatan berhubung kenyataan Pandelela yang mendakwa bahawa, wujud kemelut dalaman sehingga menyebabkan skuad terjun beraksi hambar di Doha.
Namun, Pandelela dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya berkata, dakwaan berhubung ‘entiti’ atau ‘pihak ketiga’ itu telah disalah tafsir oleh media sehingga menimbulkan spekulasi dan salah faham.
Dalam pada itu Norismadi berkata, SAM sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak dalam arena sukan Malaysia, sekiranya terdapat salah faham yang memerlukan penjelasan bagi mengelakkan kekeruhan berpanjangan.
“Penggunaan media sosial sebagai platform untuk meluahkan pandangan atau kekecewaan tanpa berbincang atau mendapatkan penjelasan daripada pihak media terbabit mahu pun SAM adalah tidak menggambarkan diri anda sebagai atlet profesional,” katanya lagi.
Prestasi hambar skuad terjun negara pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha minggu lalu, menyaksikan penerjun gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.