HomeBeritaPemandu van halang ambulans miliki 7 saman trafik

Pemandu van halang ambulans miliki 7 saman trafik

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu van yang dikesan menghalang dan tidak memberi laluan kepada ambulans Kilometer 14, Lebuh Raya Pasir Gudang, pada Sabtu memiliki tujuh saman kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Suhaimi Ishak memaklumkan, pihaknya telah mengesan satu video tular dimuat naik menerusi laman Facebook berdurasi 47 saat berhubung kejadian tersebut.

Menurut beliau, video berkenaan memaparkan sebuah van jenis Toyota Hiace berwarna putih didapati menghalang laluan sebuah ambulans.

“Van tersebut didapati tidak mengendahkan untuk memberi laluan kepada ambulans yang telah membunyikan siren dan lampu.

“Itu telah menyebabkan pemandu ambulans tersebut terpaksa memotong di lorong kiri,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd Suhaimi berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seri Alam telah mengesan pemandu van tersebut yang merupakan lelaki tempatan berusia 38 tahun.

Beliau berkata, lelaki itu telah disaman RM300 mengikut Peraturan 9 (2) LN 166/59 kerana tidak memberi laluan kepada kenderaan polis atau ambulans atau bomba atau penjara atau kastam atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 56(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tiada lesen memandu vokasional (GDL).

“Orang ramai diminta sentiasa patuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 47 saat tular memaparkan sebuah van dikatakan tidak memberi laluan kepada ambulans meskipun siren kecemasan dibunyikan.

Author

Pilihan Editor