HomeBeritaTaktik campur pewarna hitam gagal, kastam rampas 80,000 liter diesel

Taktik campur pewarna hitam gagal, kastam rampas 80,000 liter diesel

KUALA NERANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sebanyak 80,000 liter diesel di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, dekat Durian Burung di sini pada bulan ini.

Menurut Pengarah JKDM, Nor Izah Abdul Latiff, sepasukan pegawai Kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Durian Burung telah menahan dua lori tangki bernombor pendaftaran tempatan itu jam 9.30 pagi pada 17 Februari lepas.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, pasukan telah menemukan muatan yang disyaki minyak diesel sebelum kedua-dua lori berkenaan diiring dan diparkir di hadapan Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Durian Burung untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan terhadap lori pertama menemukan minyak diesel dengan anggaran 45,000 liter, manakala lori kedua anggaran 35,000 liter dengan nilai diesel dianggarkan RM172,000.

“Turut dirampas dua lori itu yang dianggarkan bernilai RM450,000,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, modus operandi untuk mengaburi pihak Kastam adalah dengan membuat pengikraran yang tidak betul di dalam borang eksport (Kastam 2) sebagai stok campuran minyak bahan api.

“Ia tidak tertakluk kepada lesen eksport dan tiada duti atau cukai. Selain itu, bagi mendapatkan pelepasan terus, mereka telah menambah pewarna hitam ke dalam minyak diesel supaya warna minyak itu menjadi lebih gelap.

“Kedua-dua lelaki tempatan berusia 37 dan 48 tahun itu ditahan untuk siasatan dan kemudiannya telah dilepaskan dengan jaminan Kastam. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.

 

 

 

Author

Pilihan Editor