HomeBeritaWanita ditemui meninggal dunia dalam kereta

Wanita ditemui meninggal dunia dalam kereta

RAWANG: Seorang wanita yang ditemui mati dalam sebuah kereta di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kundang Barat, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) hari ini, dipercayai membunuh diri dengan menghidu arang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Abang Kaderi Abang Wasli, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat wanita itu, kira-kira jam 11 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati mangsa wanita tempatan berusia 33 tahun. Ketika ditemui, mangsa berpakaian lengkap.

“Mangsa ditemui dalam keadaan bersandar pada kerusi pemandu dengan barang peribadinya masih dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Kaderi berkata, terdapat satu bekas diperbuat daripada tanah liat berisi arang ditemui di bahagian ruang kaki penumpang hadapan.

“Pemeriksaan mendapati sebahagian daripada arang itu sudah terbakar dan tiada kecederaan fizikal pada badan wanita terbabit.

“Mangsa juga didapati sudah meninggal dunia lebih 24 jam dengan pengecaman mayat wanita itu dilakukan oleh adik serta rakannya di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Sarjan Aktiviti Balai Polis Kundang, Sarjan Zulkifli Nordin di talian 011-69728629 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.

Terdahulu, media melaporkan mayat seorang wanita ditemui di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) berkunci di R&R Kundang di Lebuhraya Latar, hari ini. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor