HomeBeritaWarga emas rentung, 3 lagi melecur dalam kebakaran kereta

Warga emas rentung, 3 lagi melecur dalam kebakaran kereta

TAPAH:  Seorang wanita warga emas rentung, manakala tiga individu termasuk dua kanak-kanak lelaki melecur dalam kebakaran sebuah kereta di Jalan Bidor Lama, di sini pada awal pagi Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.49 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang terbakar 98 peratus dan terdapat mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta telah rentung. 

“Manakala seorang lagi wanita serta dua kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia lima dan lapan tahun cedera melecur telah dibawa ke Hospital Tapah untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis. 

Sabarodzi berkata, anggota bomba mengaplikasikan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) dan membuat pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula air dari tangki jentera sehingga kebakaran dapat dipadam sepenuhnya.

Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Setakat ini kita tidak dapat sahkan pertalian mereka, memandangkan dokumen pengenalan hangus dalam kejadian itu,” katanya. 

 

Author

Pilihan Editor