SERAMAI lima individu muntah darah dan rasa terbakar pada mulut, selepas menelan penyegar mulut di sebuah restoran pada awal bulan ini.
Dalam kejadian pada 2 Mac lalu, seorang lelaki dikenali sebagai Ankit Kumar bersama isteri dan rakan-rakannya menjamu selera di Kafe Laforessta, di Sektor 90 Gurugram, dekat New Delhi, India.
Menerusi video tular, mereka didengari menjerit dan menangis akibat kesakitan dalam mulut masing-masing.
Pada masa sama, salah seorang lelaki dilihat muntah pada lantai restoran, manakala seorang wanita meletakkan ais ke dalam mulutnya bagi mengurangkan kesakitan.
“Kami tidak tahu apa yang mereka campurkan ke dalam penyegar mulut. Semua orang di sini muntah.
“Lidah mereka mengalami luka dan mulut mereka terasa pedih,” kata Kumar seperti dilapor NDTV.
Dia kemudian meminta orang awam yang berada di premis itu untuk menghubungi pihak polis.
Berdasarkan laporan polis yang dibuatnya, Kumar juga menunjukkan bungkusan penyegar mulut itu kepada pihak berkuasa.
“Menurut doktor, ia adalah ais kering dan asid yang boleh menyebabkan kematian,” katanya lagi.
Menurut laporan sama, mangsa pada mulanya merasakan rasa terbakar di dalam mulut masing-masing, sebelum memuntahkan semula makanan itu dan muntah darah.
Meskipun mangsa membilas mulut mereka dengan air, namun langkah itu masih lagi tidak membantu.
Kesemua mangsa akhirnya dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, manakala dua daripadanya berada dalam keadaan kritikal.
Polis sudah pun membuka kertas siasatan terhadap kes itu berdasarkan aduan mangsa.