HomeBerita50,000 pemandu teksi, kereta sewa, pemandu bas terima tajaan penuh SKSPS

50,000 pemandu teksi, kereta sewa, pemandu bas terima tajaan penuh SKSPS

PUTRAJAYA: Seramai 35,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 individu yang bekerja sendiri sebagai pemandu bas sekolah, bakal menerima tajaan caruman penuh melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif percuma itu merupakan langkah susulan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan tajaan caruman SKSPS melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada 80 peratus kepada 90 peratus, ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu.

Loke

Beliau berkata, 90 peratus atau RM209.50 kadar caruman itu akan ditanggung Kementerian Kewangan melalui Perkeso untuk Pelan 2 SKSPS, manakala baki caruman sebanyak 10 peratus atau RM23.30 akan ditanggung dan dibayar oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) kepada Perkeso.

“Inisiatif bagi menaja baki 10 peratus caruman untuk pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah adalah melalui penjualan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) ‘GOLD’.

“Hasil daripada jumlah itu yang bernilai RM1.165 juta akan dimanfaatkan kepada 50,000 individu yang bekerja dalam sektor tradisional seperti yang diperjelaskan dengan syarat perlu mempunyai lesen memandu dan lesen PSV (Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam) yang aktif,” kata Loke.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Caruman Percuma Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Perkeso, di Menara Perkeso, di sini pada Rabu.

Menerusi SKSPS, Loke berkata, sekiranya individu bekerja sendiri meninggal dunia akibat bencana pekerjaan, ibu, bapa, suami atau isteri kepada pekerja berkenaan layak menerima pencen sebanyak RM1,395 sebulan untuk seumur hidup.

Sementara itu, katanya, situasi sama turut memberi manfaat kepada anak individu tersebut untuk mendapat kemudahan pinjaman atau biasiswa pendidikan.

Sim (tiga dari kiri) dan Loke (empat dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada pencarum SKSPS, yang mendapat faedah hilang upaya kekal di Menara Perkeso, dekat Putrajaya pada Rabu.

Jelasnya lagi, pelan tersebut turut menyediakan faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara atau kekal, faedah pengurusan mayat dan khidmat pemulihan jasmani.

“Kebajikan pemandu dan keluarga akan dipastikan terjamin. Individu yang bekerja sendiri diseru untuk mengambil tahu mengenai SKSPS dan jadikannya sebagai tanggungjawab untuk melindungi keluarga dan diri sendiri,” ujarnya.

Inisiatif caruman penuh perlindungan SKSPS adalah hasil kerjasama antara Kementerian Kewangan (MOF), MOT dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) untuk pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah bagi memperkasa nilai ihsan serta kesejahteraan rakyat.

SKSPS memberi perlindungan kepada mereka yang layak mencarum merangkumi 20 sektor yang bekerja sendiri secara informal.

Dalam majlis sama, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong memaklumkan, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Suku Ketiga 2023 melaporkan, seramai 2.98 juta rakyat Malaysia didapati bekerja sendiri.

Namun, katanya, hasil semakan rekod caruman SKSPS setakat 3 Mac 2024 mendapati, hanya 14.56 peratus bersamaan 433,881 pencarum aktif bagi individu bekerja sendiri direkodkan Perkeso.

“Justeru, kerajaan merencana inisiatif melalui pembentangan Belanjawan 2024, yang memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi meringankan beban mereka.

“Dengan peruntukan ini, kerajaan menyasarkan hampir 500,000 individu yang bekerja di sektor pekerjaan sendiri berupaya menikmati perlindungan sewajarnya,” katanya.

Menerusi inisiatif ini, tambahnya, individu yang bekerja di sektor informal hanya perlu membayar baki sebanyak 10 peratus atau RM23.30 bagi perlindungan selama 12 bulan bermula dari tarikh caruman.

Jelasnya, nilai tersebut bersamaan 6 sen sehari dengan 90 peratus lagi ditanggung oleh kerajaan.

“Caruman ini berperanan sebagai sokongan kewangan kepada individu bekerja sendiri sekiranya ditimpa bencana semasa menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri.

“Pencarum juga layak mendapat faedah tunai termasuk tanggungannya, di samping penyediaan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional,” katanya.

Turut hadir pada majlis sama adalah Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Ketua Setiausaha MOT, Datuk Jana Santhiran Muniayan; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

 

Author

Pilihan Editor