HomeBeritaDr Dzulkefly alami renal colic, dirujuk di hospital

Dr Dzulkefly alami renal colic, dirujuk di hospital

CYBERJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sudah dirujuk ke Jabatan Kecemasan di sebuah hospital pada awal pagi Rabu.

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu dirujuk ke hospital kerana disyaki mengalami gejala renal colic.

“Namun, Menteri Kesihatan kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan.

“Sama-sama kita doakan agar beliau diberikan kesihatan yang baik dan kembali pulih untuk bertugas,” kata kenyataan itu.

Kenyataan sama bagaimanapun tidak menyebut hospital yang dirujuk Dr Dzulkefly.

Menurut portal MyHealth KKM, renal colic atau kolik buah pinggang berlaku apabila batu karang bergerak melalui saluran ureter.

Pergerakan batu itu melalui kawasan sempit sebelum mengakibatkan penyumbatan pengaliran air kencing.

Sesetengah pesakit akan merasa sakit pada testikel atau sepanjang zakar ketika membuang air kecil dan kebiasaannya dapat mengesan kehadiran darah di dalam air kencing.

Pesakit juga akan merasa sakit berterusan dan mungkin demam sekiranya terdapat jangkitan kuman.

Antara gejala lain adalah pesakit akan merasa sakit dan sengal-sengal di belakang badan.

Author

Pilihan Editor