SETIAP pasangan pasti impikan kebahagiaan rumah tangga yang berkekalan. Namun, ada juga yang diuji sehingga berpisah kerana tiada persefahaman antara satu sama lain.
Itulah yang terjadi kepada pasangan suami isteri iaitu Adira Suhaimi dan suaminya Datuk Adnan Abu atau dikenali sebagai Datuk Red.
Pergolakan rumah tangga pasangan ini bagai tiada penghujung sehingga Adira buat kali kedua nekad memfailkan cerai.
Bercakap kepada media, Adnan menyatakan yang dia tidak peduli dengan kecaman yang dilemparkan susulan keenganan menceraikan penyanyi berkenaan.
“Saya kahwin lapan tahun lalu bukan untuk cerai, anak pun dah empat, orang lain boleh cakap apa nak cakap, sebab mereka tak lalui.
“Saya fikir pengorbanan saya ini bukan untuk diri sendiri tapi anak-anak.
“Bila mereka tonton video ini, saya berkorban semua ini untuk mereka,” ujarnya menerusi temu bual bersama rakan media.
Turut hadir bersama isterinya, Adira, ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak, Rawang pada pagi Selasa untuk mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP). Masing-masing diwakili oleh peguam syariah.
Adnan turut menyatakan bahawa dia sudah berusaha untuk memujuk Adira namun tiada tanda-tanda positif yang diterima.
Malah, dia berpendapat bahawa keretakan rumah tangga itu bukanlah satu dugaan, sebaliknya ia adalah balasan ke atas kekhilafannya sebelum ini.
“Pujuk memujuk itu biasa,memang ada tapi perempuan kalau marah… saya sudah cuba.
“Apabila sampai tahap begini, sudah habis berusaha, mungkin ini bukan dugaan tapi balasan terhadap apa yang saya lakukan dahulu,” ujarnya lapor Mstar.
Pada masa yang sama, dia juga reda sekiranya keputusan JKP tidak berlangsung dengan baik malah fokus utamanya adalah keluarga.
“Sebab itu sekarang saya tak ada sosial media dan hanya fokus padakeluarga.
“Dah ditakdirkan begitu, saya terima saja. Tapi selagi saya bernafas, saya akan berjuang untuk keluarga,” katanya lagi.
Sebagai rekod, Adira pernah menfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019.
Bagaimanapun, ketika itu penyanyi tersebut menarik semula tuntutannya untuk memberi peluang kepada suaminya berdamai.
Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga di Songkhla, Thailand pada Disember 2015, dan Adira sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun.